SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Ahad berkata AS mempertimbang “semua pilihan yang ada” untuk bertindak balas terhadap serangan ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman, lapor agensi berita China Xinhua.
“Amerika Syarikat sedang mempertimbang semua pilihan yang ada. Kami telah beberapa kali memberi taklimat kepada Presiden,” kata Pompeo dalam satu temu bual di CBS sambil menambah bahawa tindak balas ketenteraan adalah antara pilihan itu.
Pompeo, pada masa yang sama, mencadangkan agar Washington mencari jalan untuk mencegah ketegangan dengan Iran daripada terus memuncak.
“Presiden Trump telah melakukan segala yang dapat dilakukannya bagi mengelak peperangan. Kami tidak mahu berperang,” katanya dalam satu lagi temu bual dengan Fox News pada hari yang sama.
Diplomat tertinggi AS itu mengulangi dakwaan bahawa Iran adalah dalang di sebalik serangan ke atas kedua-dua kapal tangki minyak tersebut.
“Ini adalah serangan Republik Islam Iran ke atas penghantaran komersial… dengan niat yang jelas untuk menafikan transit melalui selat itu,” kata Pompeo kepada Fox News.
Pompeo mengulangi bahawa Amerika Syarikat akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menjamin kebebasan navigasi di Selat Hormuz, satu laluan penghantaran penting bagi bekalan tenaga global.
Tehran telah menafikan sebarang dakwaan bahawa Iran adalah dalang di sebalik serangan ke atas kedua-dua kapal tangki minyak.
Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif pada Khamis berkata di akaun Twitter beliau bahawa dakwaan AS adalah rancangan untuk menggunakan sabotaj diplomasi bagi melindungi keganasan ekonominya terhadap Iran. – Bernama, 17 Jun, 2019
Komen