Netanyahu rasmi 'Trump Heights' di Bukit Golan


Netanyahu merasmikan “Trump Heights”, di Bukit Golan yang dirampas dari Syria pada Perang Enam Hari 1967. – Gambar AFP, 17 Jun, 2019.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam merasmikan sebuah penempatan baharu di Bukit Golan, dinamakan sempena “kawan hebat” negara itu, Presiden AS Donald Trump. 

Netanyahu mendedahkan papan tanda “Trump Heights”, disertai dengan bendera Israel dan AS, bagi menandakan pelancaran tapak penempatan baharu itu. 

Majlis itu berlaku selepas presiden AS pada hujung Mac lalu mengiktiraf kedaulatan Israel melibatkan kawasan yang dirampasnya dari Syria pada Perang Enam Hari 1967. 

Israel mengilhakkan kawasan itu dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa. 

“Golan adalah milik Israel dan akan terus jadi begitu,” isytihar Netanyahu. 

Trump adalah “kawan hebat Israel yang ambil keputusan tidak pernah diambil sebelum ini,” tambahnya. 

Pembinaan di kawasan penempatan itu sedang dilakukan oleh empat keluarga warga Israel. 

Ia akan dibina di atas bekas tapak kibbutz yang pertama kali dibina pada 1984. 

Pelancaran penempatan baharu itu akan “memacu pembangunan Bukit Golan”, tambah Netanyahu, berjanji yang kerajaan akan melabur untuk pembinaan rumah dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan pelancongan. 

Sejumlah 23,000 Druze- minoriti Arab yang juga wujud di Syria dan Lubnan- tinggal dalam kawasan dirampas itu, dengan 25,000 warga Israel pula mula tinggal di situ sejak 1967. 

Netanyahu juga berkata Trump “sekali lagi memberikan komitmennya kepada keselamatan dan masa depan Israel”, menyebut yang presiden itu juga bertanggungjawab memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei 2018, tindakan yang bertentangan dengan norma diplomasi antarabangsa. – AFP, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen