Terpalit skandal seks, PKR Cabang Santubong masih sokong Haziq


Desmond Davidson

Skandal video seks terbaru dalam PKR bukan sahaja memberi kesan kepada parti peringkat nasional, tetapi juga boleh menjejaskan perpaduan cabang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

WALAUPUN Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku mengadakan hubungan seks dengan Azmin Ali kini berdepan kecaman dan kritikan, rakan-rakannya dalam PKR Cabang Santubong berikrar akan terus menyokong bekas aktivis pelajar itu.

Pemimpin cabang berkata kedudukan Haziq selaku ketua Pemuda setakat ini masih kukuh, walaupun tersebar video seks yang didakwa beliau dan Azmin dalam sebuah bilik hotel.

“Video seks Haziq tiada kaitan dengan cabang,” kata Setiausaha Azian Mantaril kepada The Malaysian Insight.

Katanya, berbanding terlibat dengan skandal itu, cabang akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan parti menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Kami, terutama Wanita Santubong, lebih fokus kepada memajukan agenda politik kami, agenda rakyat dan mengukuhkan kedudukan kami.

“Biar pihak berkuasa siasat (yang kami harap) tanpa prejudis,” katanya.

Ketua Cabang Ahmad Nazib Johari tidak mengangkat, membalas panggilan atau menjawab soalan dikemukakan The Malaysian Insight berkaitan kes Haziq.

Bagaimanapun, dalam sebuah video tersebar, Ahmad Nazib memberitahu TV tempatan, The Sarawak Edition yang Haziq bukanlah lelaki dalam klip itu.

Beliau mendakwa berjaya menghubungi Haziq pada hari sama video seks itu tular, dan dalam perbualan mereka, Haziq menafikan beliau adalah lelaki yang didakwa mengadakan hubungan seks dengan Azmin dan menggesa menteri itu disiasat kerana korupsi.

Bagaimanapun, beberapa pihak sudah meluahkan keraguan tentang kesahihan dakwaan Ahmad Nazib yang beliau ada bercakap dengan Haziq selepas video seks itu terbongkar.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Aziz terkait dengan skandal video seks didakwa melibatkan Menteri Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

Keluarga dan rakan rapat Haziq memberitahu wartawan di Kuching yang kali terakhir mereka berjaya menghubungi Haziq adalah pada malam Selasa, apabila beliau menghubungi ayahnya untuk memaklumkan beliau akan pergi ke Paris dengan “bos”, merujuk kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Haziq adalah setiausaha sulit kanan Shamsul.

Dan walaupun Cabang Santubong secara rasminya berikrar terus memberikan sokongan kepada ketua Pemuda mereka, beberapa orang pemimpinnya masih tidak yakin sepenuhnya Haziq tidak bersalah langsung.

Lelaki muda itu, yang disifatkan bekas rakan aktivis pelajarnya sebagai individu bercita-cita politik yang tinggi, bukanlah asing dengan kontroversi kerana kemenangan beliau sebagai ketua Pemuda Santubong tanpa bertanding masih jadi bualan.

Bekas ketua Pemuda PKR Sarawak Abdul Raafidin Majidi berkata beliau membantah pencalonan Haziq dalam pemilihan parti itu yang lepas.

Pada September tahun lepas, Raafidin mempersoalkan keahlian Haziq dan kelayakannya bertanding pemilihan.

Raafidin menegaskan yang Haziq, dengan nombor ahli Q 0200001785, tidak pernah mendaftar sebagai ahli untuk layak bertanding pemilihan.

Beliau juga mendakwa pencalonan Haziq sebagai ketua Pemuda Santubong dibatalkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR.

Rafizi Ramli beberapa kali dikaitkan pihak tertentu dalam skandal video seks melibatkan Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

“Saya masih tak faham bagaimana dia boleh bertanding walaupun kami bantah. Mungkin awak boleh tanya Rafizi Ramli,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Rafizi adalah setiausaha agung ketika itu.”

Bantahan rasmi terhadap pencalonan Haziq dibuat oleh seorang lagi ahli parti, Jazolkipli Numan, 55.

Jazolkipli dalam aduan menerusi borang bantahan rasmi parti mendakwa Haziq secara “terbuka berkempen” untuk Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Katanya, semasa berkempen juga, Haziq secara terbuka mengkritik dan menghina PKR. – 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen