Serigala kelabu India dibunuh petani di Bangladesh


Serigala kelabu India yang pertama dilihat di Bangladesh dalam tempoh lapan dekad, mati selepas dipukul sekumpulan petani pada awal bulan ini. – Gambar AFP, 17 Jun, 2019.

SERIGALA kelabu India yang pertama dilihat di Bangladesh dalam tempoh lapan dekad, mati selepas dipukul sekumpulan petani selepas haiwan yang jarang ditemui itu mengintai ternakan, kata pakar hidupan liar.

Serigala kelabu itu kali terakhir dilihat di Bangladesh pada 1949, kata Persatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar.

Penduduk tempatan berhampiran Sundarbans – hutan paya bakau terbesar dunia yang berhampiran India dan Bangladesh – menangkap dan membunuh serigala itu kerana ia menyerang haiwan ternakan mereka.

“Kami mengesahkan haiwan itu serigala kelabu India,” kata Y.V Jhala dari Institut Hidupan Liar India.

Masih terdapat kira-kira 3,000 haiwan itu di India, sebahagian dalam simpanan, tetapi mereka hilang dari habitat di utara dan barat daya Bangladesh sekitar 1940-an, katanya.

Pakar zoo di Universiti Dhaka Anwarul Islam turut mengutip sampel DNA daripada haiwan itu untuk membolehkan pasukannya melihat tanda-tanda lebih banyak serigala kelabu India berada di wilayah itu.

“Sedih kerana ia dipukul sampai mati. Kita perlu jalankan siasatan lanjut untuk mencari sama ada ia berjalan dalam kumpulan atau tidak,” kata Islam.

Serigala itu dibunuh awal bulan ini tetapi hanya dikenal pasti apabila gambar bangkainya dihantar kepada pakar.

Beberapa jenis keluarga haiwan termasuk dubuk belang, rusa paya dan rusa jenis black buck – hilang dari Bangladesh sejak beberapa dekad terakhir ini. – AFP, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen