Omar al-Bashir dituduh rasuah, terima hadiah haram


Omar al-Bashir dibawa ke pejabat pendakwa raya oleh konvoi bersenjata lengkap, selepas digulingkan pada April lalu menerusi tunjuk perasaan rakyat di seluruh Sudan. – Gambar AFP, 17 Jun, 2019.

BEKAS pemimpin Sudan, Omar al-Bashir kali pertama dilihat di khalayak ramai semalam, selepas disingkirkan ketika dibawa ke pejabat pendakwa raya oleh konvoi bersenjata lengkap.

Bekas presiden yang mentadbir negara timur laut benua Afrika itu secara kuku besi selama tiga dekad digulingkan pada 11 April lalu selepas tunjuk perasaan besar-besaran seluruh negara berlangsung selama beberapa bulan.

Berjubah tradisional berwarna putih dan serban, Omar dibawa keluar dari penjara Kober di ibu negara dengan diiringi konvoi menuju ke pejabat pendakwa raya untuk didakwa.

Pendakwa raya Alaeddin Dafallah dalam kenyataan kepada wartawan selepas pertemuan dengan Omar berkata, bekas presiden itu dimaklumkan mengenai tuduhan yang akan dibacakan ke atasnya iaitu pemilikan mata wang asing, rasuah dan menerima hadiah secara haram.

Sementara itu, jeneral kanan majlis tentera berikrar individu yang melancarkan operasi besar-besaran bagi melumpuhkan tunjuk perasaan sehingga meragut puluhan nyawa awal bulan ini akan dijatuhi hukuman mati.

“Kami berusaha keras untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke tali gantung,” kata timbalan ketua majlis tentera, Mohamed Hamdan Dagalo dalam ucapan disiarkan secara langsung di televisyen.

Menurut keterangan ramai saksi, ribuan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar ibu pejabat tentera di Khartoum selama beberapa minggu disuraikan dengan kekerasan oleh sekumpulan lelaki bersenjata memakai seragam tentera pada 3 Jun.

Beberapa doktor yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu berkata, sekurang-kurangnya 129 individu maut dalam operasi berkenaan.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun meletakkan jumlah yang terkorban dalam insiden 3 Jun lalu itu seramai 61 orang.

Penunjuk perasaan dan saksi mendakwa, operasi berkenaan dilakukan kumpulan separa tentera yang amat ditakuti dan diketuai oleh Mohamed Hamdan sendiri. – AFP, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen