SEBUAH universiti di Indonesia menawarkan tempat dengan cara kreatif – bakal pelajar perlu jadi bintang YouTube terlebih dulu.
Menerusi skim kemasukan istimewa itu, Universiti Pembangunan Negara Veteran Jakarta (UPNVJ), menawarkan tempat kepada pemilik akaun YouTube yang mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut dan isi kandungan video yang asli ciptaan sendiri dan ditonton lebih 100,000 kali.
Mereka yang menepati kriteria itu akan diuji lanjut dengan arahan mencipta video baharu berdurasi antara tiga hingga lima minit.
Mendapatkan tempat di universiti sangat tinggi persaingannya di Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, dengan lebih 260 juta rakyatnya.
Media sosial dan laman web sangat popular di seluruh republik itu, dengan kajian menunjukkan orang ramai menghabiskan masa purata lebih tiga jam sehari untuk online – salah satu kadar tertinggi di dunia.
Universiti itu menawarkan pakej kemasukan itu khas untuk mereka yang merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi, sosial dan sains politik, perundangan, kejuruteraan dan komputer.
“YouTube media yang hebat untuk menyampaikan mesej positif,” kata rektor universiti itu Erna Hernawati.
Bintang ternama YouTube Indonesia – Atta Halilintar dan Ricis masing-masing mempunyai lebih 15 juta pengikut.
UPNVJ sebelum ini menawarkan skim kemasukan istimewa untuk atlet dan qari dan qariah. – AFP, 17 Jun, 2019.
Komen