Mexico tahan 791 pendatang haram


Mexico diberi tempoh 45 hari membanteras kebanjiran pendatang haram, sebagai sebahagian perjanjian dicapai dengan AS awal bulan ini susulan ugutan kenaikan tarif oleh Presiden Donald Trump. – Gambar EPA, 17 Jun, 2019.

SERAMAI 791 pendatang dari Amerika Tengah termasuk 368 kanak-kanak bawah umur lapan tahun, ditahan di Veracruz, Mexico, kata pihak berkuasa.

Penahanan pendatang haram yang dibawa secara bersembunyi dalam empat lori treler itu dilakukan di dua lokasi, kata Institut Migrasi Negara dalam satu kenyataan.

Walaupun jumlah sebenar pendatang berkenaan masih tidak jelas, sumber berkata 270 daripadanya berumur enam atau tujuh tahun, dan 98 bayi hingga lima tahun.

Mereka yang ditahan termasuk 413 dari Guatemala, 330 dari Honduras dan 39 dari Salvador, kata sumber.

Seorang lagi sumber berkata enam individu dipercayai penyeludup ditahan.

Veracruz antara wilayah paling ganas di Mexico. Laluan pengedaran dadah ke Amerika Syarikat (AS) melalui wilayah itu dan pendatang haram yang menggunakan jalan itu berdepan risiko dirompak, dirogol atau diculik.

Penahanan itu dibuat ketika tempoh 45 hari untuk Mexico membanteras kebanjiran pendatang haram, sebagai sebahagian perjanjian dicapai dengan AS awal bulan ini susulan ugutan kenaikan tarif oleh Presiden Donald Trump. – AFP, 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen