SEORANG pelagak ngeri India yang memasuki sungai Ganges dalam keadaan terikat dengan rantai besi dan tali dilaporkan hilang, kata polis.
Chanchal Lahiri, yang turut dikenali sebagai “Jadugar Mandrake” atau “Tukang Sihir Mandrake”, diturunkan ke dasar sungai menggunakan kren oleh ahli keluarganya, yang turut diperhatikan pihak media dan polis dari tebing sungai.
Namun lelaki berusia 40 tahun itu gagal untuk timbul ke permukaan sungai, sekali gus menyebabkan kekecohan dan pihak polis terus melancarkan operasi pencarian.
“Kami masih mencari,” kata seorang daripada ahli keluarga kepada AFP.
Lahiri sebelum ini pernah berjaya melakukan aksi yang sama 21 tahun lalu di lokasi yang sama.
“Saya berada dalam kotak kaca kalis peluru dengan rantai terikat dan terkunci dan dijatuhkan dari jambatan Howrah. Kemudian saya keluar dalam 29 saat,” katanya kepada AFP.
Beliau mengakui sukar untuknya melepaskan diri kali ini.
“Sekiranya saya dapat buka, ia adalah satu keajaiban, namun jika tidak ia pasti akan jadi tragis,” katanya sebelum aksi lagak ngeri itu dibuat. – AFP, 16 Jun, 2019
Komen