KERJASAMA PAS dengan musuh tradisinya Umno dijangka akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan dalam muktamar parti itu minggu ini, kata sumber.
Pemimpin PAS percaya perjanjian antara dua parti itu akan diumumkan selepas muktamar yang akan menggariskan syarat kerjasama mereka.
PAS ditubuhkan dari sayap ulama Umno pada 1951. Pada satu peringkat, parti Islam itu bekerjasama dengan Umno pada 1974 sebagai sekutu Barisan Nasional (BN).
Namun apabila ia tidak lagi sehaluan dengan BN pada 1978, PAS menjadi pesaing utama Umno dalam meraih undi Melayu.
Dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS, Umno dan sekutu NGO bekerjasama sekali lagi. Pemimpin PAS bagaimanapun berkata, kerjasama itu hanyalah dalam kes tertentu.
Setakat ini, tidak ada gabungan pembangkang yang bersatu seperti Pakatan Harapan (PH) dan Pakatan Rakyat seperti ketika BN masih menguasai kerajaan persekutuan.
Muktamar PAS di Kuantan yang bermula minggu ini akan menjadi batu loncatan dalam usaha pembinaan gabungan dan tema perpaduan ummah akan menjadi slogan untuk membawa konsep kerjasama PAS-Umno.
Kerjasama antara kedua-dua parti semakin baik ketika PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau yang menyaksikan ahli PAS mengundi calon Umno.
Ahli strategi parti itu juga percaya kerjasama itu akan menyaksikan mereka memenangi Putrajaya pada PRU15 kerana kedua-dua parti itu mempunyai rangkaian terbesar di kalangan orang Melayu.
Mereka percaya jumlah itu membentuk lebih 60% daripada jumlah pengundi di negara ini.
Mengubati luka lama
Namun terlebih dahulu pemimpin parti Islam itu perlu meyakinkan ahli parti yang masih ragu ini untuk mengetepikan permusuhan dengan Umno.
Ia perlu dilakukan agar mereka dapat menewaskan PH, yang disifatkan oleh pemimpin mereka sebagai musuh yang lebih besar.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan ahli PAS terutama di Kelantan dan Terengganu masih tidak mempercayai musuh tradisi mereka itu walau parti mereka bekerjasama.
Sikap itu berpunca dari sejarah kedua-dua parti tersebut. Ahli PAS Kelantan masih menyalahkan Umno kerana meruntuhkan dan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan PAS pada 1977.

Pada awal 1980-an, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat amanat kontroversi yang melabel ahli Umno sebagai kafir.
Mazhab buatan ini mencetus perpecahan di kebanyakan kampung di Terengganu apabila ahli PAS tidak akan menyertai upacara dan perayaan keagamaan jika ia dijalankan oleh orang Umno.
Tinjauan The Malaysian Insight di Terengganu baru-baru ini mendapati, pertikaian itu masih belum pulih sepenuhnya dan kebanyakan ahli PAS dan Umno masih curiga antara satu sama lain.
“Pemimpin PAS akan guna muktamar untuk menerangkan konsep Perpaduan Ummah iaitu kerjasama politik dengan Umno bagi menjelaskan pada ahli apa maksud kerjasama itu.
“Sebabnya masih ramai ahli PAS khususnya di Kelantan dan Terengganu masih tak boleh terima Umno,” kata sumber yang maklum dengan strategi pemimpin parti.
Seorang ahli PAS yang masih curiga untuk bekerjasama pula tidak percaya dengan keikhlasan Umno dan tidak akan berkongsi kuasa di negeri yang ditadbir parti itu di Pahang.
“Buat apa PAS nak kerjasama dengan Umno? Umno hanya mahu kerjasama selepas dia hilang kuasa. Sebelum itu dia tekan kita di Kelantan dan Terengganu.
“Tapi bila hilang kuasa dia nak bersama kita pula? Macam mana kalau Umno hendak jawatan dalam kerajaan Kelantan atau Terengganu?
“Umno akan beri kalau kita hendak jawatan dalam kerajaan Pahang?” soal ahli PAS yang enggan namanya disiarkan.
Isu mengenai kebimbangan itu begitu besar kerana menurut seorang pemimpin PAS, perkara itu akan dibangkitkan sendiri oleh presiden parti dalam muktamar itu.
“Isu kerjasama politik Umno-PAS dijangka akan dibangkitkan sendiri oleh Hadi, kata Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abu Jabar.
Malah, isu perpaduan Umno-PAS juga akan menjadi isu utama muktamar dan akan disentuh oleh pemimpin dan dibahas perwakilan, katanya.
“Yang pastinya PAS sudah pasti menetapkan syarat dan membuat sesuatu yang memberi kelebihan atas dasar keuntungan sesama Islam,” kata Rosli yang juga Adun Tanjong Lumpur.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata perjanjian dengan Umno sedang dirangka namun input daripada perwakilan semasa perbahasan akan diambil kira sebelum ia dimuktamadkan.
“Kita akan pastikan ia berjaya. Kita akan (meneruskan kerjasama dengan Umno) walaupun ada pihak dalam PH tidak berpuas hati dan mahu pastikan kerjasama ini gagal.” – 17 Jun, 2019.
Komen