Abu Dhabi hukum penjara 2 individu utama terbabit skandal 1MDB


Bekas pengarah urusan Ipic Khadem al-Qubaisi dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesalahan berkaitan jenayah kewangan. – Gambar EPA, 16 Jun, 2019.

ABU Dhabi menjatuhkan hukuman penjara dua individu penting yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selepas disabitkan dengan jenayah kewangan yang tiada kaitan dengan kes Malaysia, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Khadem al Qubaisi, warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang pernah mengetuai International Petroleum Investment Company (Ipic) Abu Dhabi, dipenjarakan selama 15 tahun, sementara Mohammed Badawy al Husseiny, warga Amerika yang mengendalikan subsidiari Ipic, dihukum penjara 10 tahun.

WSJ melaporkan bahawa siaran media mahkamah tidak menamakan kedua-dua individu itu, tetapi mengesahkan identiti mereka dengan sumber kehakiman.

Laporan itu berkata mereka perlu membayar kira-kira 300 juta euro (RM1.4 bilion), sebahagian kepada Ipic, yang disebut sebagai “syarikat menjadi mangsa”, dan separuh lagi sebagai penalti.

Al Qubaisi, yang disebut sebagai “tertuduh pertama” dalam kenyataan mahkamah, bersalah kerana “mengeksploitasi jawatannya dan secara salah menyalahgunakan 149 juta euro selepas menjual saham yang dimilikinya dalam syarikat diketuainya, tanpa mendedahkan pemilikan sahamnya, bagi 210 juta euro.”

Kenyataan itu berkata siasatan berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan meluas oleh Pendakwa raya Dana Awam Abu Dhabi terhadap tuduhan rasuah.

“Tertuduh kedua” Al Husseiny disabitkan kerana “mengeksploitasi kedudukannya dan membantu rampasan wang syarikat” oleh Al Qubaisi, laporan WSJ. – 16 Jun, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen