Arab Saudi komited laksana IPO Aramco


IPO Saudi Aramco bakal menjadi penjualan saham terbesar di dunia bagi mengurangkan pergantungan ekonomi Arab Saudi terhadap minyak. – Gambar EPA, 16 Jun, 2019.

ARAB Saudi tetap komited untuk menjual saham dalam konglomerat minyak nasional Aramco melalui tawaran awam permulaan (IPO) tetapi hanya pada masa yang sesuai, kata Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

“Kami komited terhadap IPO Saudi Aramco berdasarkan keadaan yang sesuai dan pada masa yang tepat,” kata Putera Mohammed kepada akhbar, Asharq al-Awsat dalam temu ramah yang diterbitkan pada Ahad.

Beliau mengulangi ramalan terdahulu bahawa IPO Saudi Aramco “akan berlangsung pada (hujung) 2020 atau awal 2021,” hampir dua tahun daripada yang dijangkakan.

Arab Saudi merancang menjual sehingga 5% saham dalam firma tenaga terbesar dunia dan berharap dapat mengumpul sehingga AS$100 bilion.

Putera Mohammed berkata ia masih belum matang untuk mengumumkan di mana IPO akan diadakan, sambil menambah banyak keperluan bagi melaksanakannya dengan jaya.

Riyadh mengambil beberapa prosedur utama sebagai persediaan IPO termasuk mengeluarkan undang-undang cukai hidrokarbon, melantik lembaga baru untuk Aramco dan membenarkan pengauditan bebas terhadap rizab minyak kerajaan, kata putera mahkota itu.

Aramco juga membenarkan buku akaunnya buat kali pertama kepada agensi penarafan antarabangsa, mengisytiharkan saiz keuntungannya dan mengubah menjadi syarikat pemegangan awam, katanya.

IPO - yang dijangka menjadi penjualan saham terbesar di dunia - menjadi asas kepada program reformasi yang dibayangkan oleh Putera Mohammed untuk mengurangkan pergantungan ekonomi Arab Saudi terhadap minyak. – AFP, 16 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen