Kapal tangki Jepun selamat tiba di pelabuhan UAE 


KAPAL tangki Jepun yang terlibat dalam serangan di Teluk Oman sehingga mencetuskan pertelingkahan antara Washington dan Tehran, “selamat tiba” di pelabuhan Emiriah Arab Bersatu, kata pihak pengurusannya.

Kapal Kokuka Courageous membawa muatan metanol mudah terbakar melalui Teluk Oman pada Khamis apabila ia dan sebuah lagi kapal dari Norway, Front Altair dikejutkan dengan letupan.

Amerika Syarikat dan Arab Saudi menuduh Iran bertanggungjawab ke atas serangan itu.

“Kokuka Courageous selamat tiba di pelabuhan Shajrah,” kata pihak pengurusan BSM Ship dalam satu kenyataan hari ini.

Kru yang masih berada di atas kapal berkenaan “sihat dan dalam keadaan baik”, katanya. dan menambah penilaian kerosakan dan persediaan untuk memindahkan muatan kapal itu akan dilakukan sebaik sahaja pihak berkuasa pelabuhan selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan dan urusan dokumentasi.

Terdahulu, pengurusan BSM Ship berkata, Kokuka Caourageous menuju ke pelabuhan di pantai timur Emiriah Arab Bersatu, yang berhadapan dengan Teluk Oman.

Manakala sebuah lagu kapal. Front Altair, telah meninggalkan perairan Iran, menurut beberapa sumber pada Ahad.

Ia menuju ke kawasan Fujairah-Khor Fakkahn di Emiriah Arab Bersatu, kata ketua pelabuhan Hormozgan di wilayah selatan Iran kepada agensi berita Isna.

Jurucakap pengurusan Frontline, iaitu syarikat Norway yang memiliki kapal berkenaan berkata, kesmeua 23 kru kapal berkenaan sudah meninggalkan Iran dan diterbangkan ke Dubai pada Sabtu. – AFP, 16 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen