POLIS Guatemala menahan 24 pendatang haram dari Haiti dan Guinea yang sedang bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke utara dan memasuki Amerika Syarikat secara haram, kata jurucakap polis pada Sabtu.
Penahanan itu dibuat di sebuah stesen bas di utara Guatemala City, kata jurucakap polis Pablo Castillo.
Kumpulan pendatang terbabit menaiki bas dari bandar Chiquimula berhampidan sempadan Honduras, dan mahu menuju ke Amerika Syarikat menerusi Guatemala, tambahnya.
“Mereka termasuk enam wanita dan kanak-kanak bawah umur. Dua puluh daripada mereka berasal dari Haiti dan empat lagi dari Guinea,” katanya.
Kesemua mereka dihantar ke depoh tahanan pendatang di ibu negara itu.
Guatemala mula dijadikan lokasi transit untuk pendatang haram sejak tahun lalu untuk ke Mexico dan sempadan Amerika Syarikat.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan Presiden AS Donald Trump dan mencetuskan ketegangan antara Washington dan negara jirannya di selatan. – AFP, 16 Jun, 2019
Komen