Tanzania berdepan ancaman susulan kes Ebola di Uganda 


Penularan wabak Ebola di Uganda memberi amaran kepada Tanzania yang berjiran dengan negara itu.– Gambar EPA, 16 Jun, 2019

KEMENTERIAN Kesihatan Tanzania mengeluarkan amaran Ebola selepas wabak itu, yang teah menyebabkan lebih 1,400 kematian di Congo, mula merebak ke negara jiran, Uganda. 

“Saya mahu memberi peringatan kepada masyarakat umum bahawa terdapat ancaman wabak Ebola di negara kita,” kata menterinya Ummy Mwaimu beberapa hari selepas pihak berkuasa mengesahkan ahli dari satu keluarga yang melakukan perjalanan ke Congo meninggal dunia di barat Uganda. 

Menteri itu berkata, amaran itu perlu diberikan berikutan interaksi yang berterusan antara rakyat Tanzania dan Uganda menerusi sempadan atau lain-lain salurna yang tidak rasmi. 

Wilayah barat laut Tanzania iaitu Kagera, Mwanza dan Kigoma mempunyai risiko paling tinggi, kata Mwalimu. Namun katanya, oleh kerana wabak ini terlalu mudah merebak dari seorang individu ke individu yang lain, hampir seluruh negara kini dalam bahaya.

Menteri berkenaan memulakan lawatan ke wilayah terbabit pada Sabtu bagi menilai langkah yang boleh diambil di pelabuhan dan sempadan untuk menangani ancaman Ebola. 

Negara terbabit belum pernah berdepan penyakit merbahaya itu yang menyebabkan muntah dan cirit-birit, merosakkan fungsi buah pinggang dan hati dan pendarahan dalaman. 

Ebola merebak dalam kalangan manusia menerusi sentuhan dengan darah, cecair badan, rembesan atau organ individu yang dijangkiti, atau objek yang tercemar oleh cecair ini.  – AFP, 16 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen