INDIA mengenakan tarif lebih tinggi ke atas 28 barang yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), sebagai tindakan balas kepada penarikan keistimewaan perdagangan Washington terhadap New Delhi baru-baru ini.
Duti lebih tinggi dikenakan kepada pelbagai produk termasuk badam, epal dan walnut, kata Lembaga Pusat Cukai dan Kastam.
India akan “melaksanakan kadar duti tindakan balas terhadap 28 barang tertentu yang berasal atau dieksport dari (USA),” katanya dalam satu kenyataan.
Senarai awalnya termasuk 29 barang tetapi artemia, sejenis udang, dikeluarkan daripada senarai.
India adalah pasaran kedua bagi badam dari California dan epal Washington.
Ketegangan perdagangan berterusan meskipun terdapat usaha dari Washington untuk memperbaiki hubungan dengan India sebagai pengimbang kepada China, dan kenyataan yang dibuat oleh Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri India Narendra Modi mengenai hubungan baik mereka.
Perselisihan sejak tahun lepas selepas Washington enggan mengecualikan India daripada tarif keluli dan aluminium yang lebih tinggi, selaras dengan keputusan Trump untuk bertindak terhadap negara mempunyai defisit perdagangan yang besar.
India menjawab dengan mengatakan ia akan menaikkan cukai import ke atas barangan AS.
Bagaimanapun, ia menangguhkan kenaikkan tarif beberapa kali, dengan harapan untuk berunding bagi menangani masalah perdagangan.
Namun, keputusan Trump pada bulan ini menarik keistimewaan status perdagangan New Delhi dilihat mendorong langkah terbaru India.
Mengikut tarif baru, duti import walnut meningkat menjadi 120% daripada 30% dan kacang kuda dan lentil dinaikkan kepada 70% berbanding 30% pada masa ini.
Perbalahan perdagangan mungkin akan menjadi perhatian apabila Trump dan Modi bertemu di sidang kemuncak G20 pada 28-29 Jun di Osaka.
Ia juga mungkin dilbincangkan semasa pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang akan melawat India hujung bulan ini.
Dagangan barangan dan perkhidmatan AS dengan India dianggarkan AS$142.1 bilion pada 2018. Defisit perdagangan AS dengan India adalah AS$24.2 bilion, menurut data rasmi. – AFP, 16 Jun, 2019.
Komen