Kreatifnya industri TV Indonesia


Zainal Rashid Ahmad

DI Indonesia industri TV masih berkembang baik dengan sokongan pengiklanan produk dan jenama tempatan.

Malah, ketika industri TV global sedang mengalami krisis penurunan rating tontonan, stesen TV di negara Merah Putih itu tetap kencang berkembang.

Ketika industri TV global sedang berdepan krisis pen‐ dapatan sejak sedekad lalu, Indonesia digemparkan dengan pelancaran NET TV pada Jun 2013.

Kehadiran NET TV menjadi perhatian kerana selain krisis tontonan, industri TV global turut menghadapi krisis merosotnya pendapatan iklan.

Malah, banyak stesen sedang mengurangkan tenaga kerja atau memindahkan tumpuan pelaburan masa depan ke segmen digital.

Justeru, mampukah stesen TV terestrial yang menelan kos modal ratusan juta ringgit milik Indika Group ini bertahan?

Selepas lima tahun bersiaran, NET TV kini dianggap saluran nombor satu di Indonesia. Konsep menfokuskan kepada kandungan komedi talk show secara live studio berjaya mencetuskan fenomena.

Selain strategi jenama, paling utama, formula talk show merendahkan kos kandungan dan mengoptimumkan aset pembinaan dan pengendalian studio.

Ini mengubah elemen konvensional operator TV yang secara konservatif menghadkan aset studio untuk siaran berita dan isu semasa.

Malah, selain menjadi saluran yang dipenuhi program talk show, NET TV turut mencipta fenomena diluar jangka. Bahawa kandungan prime time TV bukan hanya siaran drama, konsert muzikal atau program realiti.

Melalui program bual bicara Pagi-Pagi NET, Ini Talk Show, Late Night Show, New Comedy Night Live, Waktu Indonesia Bercanda, Mama Nunung, Good Talk, Sarah Sechan dan Waktu Indonesia Timur, NET TV menguasai rating siaran seawal pagi hingga larut malam.

Lebih aneh, Ini Talk Show bersiaran dua jam pada waktu perdana dan lima hari seminggu. Manakala semua program live studio dijadikan rantai siaran lima kali seminggu.

NET TV masuk dengan strategi yang dinamik. Ketika 11 stesen penyiaran lain berlumba dengan siri realiti dan drama rantaian yang menelan kos besar, talk show menjadi pilihan identiti saluran ini. Cuma, konsepnya komedi. Namun, kosnya rendah dan kandungannya fleksibel dengan isu semasa serta demand pengiklan. Paling unik, semuanya bersiaran secara langsung.

Ini idea unik dalam reformasi strategi kandungan tv. Selain menawarkan program bual bicara yang humor dan segar, ia membebaskan Indonesia daripada belitan lambakan drama rantaian ala Korea atau program realiti hiburan ala Amerika.

NET TV faham, talk show komedi adalah strategi terbaik mendapatkan sasaran tontonan berkeluarga. Sekali gus memacu rebutan iklan produk SME yang turut berkembang baik secara ekonomi.

Ekonomi Indonesia yang tumbuh antara tujuh hingga sembilan peratus dalam tempoh lima tahun terakhir ini, menjadikan kehadiran NET TV sebagai pilihan baharu. Apa lagi konsepnya yang humor dan bersifat keluarga.

NET TV menyasarkan pengiklanan produk tempatan sebagai sumber pendapatan utama. Malah, menawarkan elemen product placement yang meluas di dalam program utamanya.

Saluran berita dan hiburan yang dinamik

Sebagai saluran yang beridentiti berita dan hiburan, NET TV memahami:

Maklumat adalah tanggung jawab utama untuk mendidik dan membina negara bangsa.

Namun, apa salahnya pendidikan maklumat disalur secara humor sesuai dengan DNA bangsa Indonesia.

Ia meneruskan konsep jenaka wayang kulit yang dimajukan Wali Songo pada sejarah pendakwahan Islam seribu tahun lalu di kepulauan Nusantara.

Siapa kata talk show tak bawa rating!

Program Ini Talk Show dikendalikan dua komedian terkenal, Sule dan Andry. Program yang turut silih berganti bintang tamu komedi ini, dilancarkan pada September 2013.

Program ini disiarkan pada waktu perdana 8.30 malam. Malah, lima hari seminggu. Anehnya, ia bertahan hingga sekarang. Selepas enam tahun bersiaran dengan hos yang sama, Ini Talk Show kekal sebagai program nombor satu di Indonesia.

Manakala program Sarah Sechan dianggap lebih feminin dan informatif. Namun, ia bukan bertemakan isu-isu remeh dan leceh soal wanita. Program ini lebih kasual dengan isu-isu humor yang tidak mampu ditandingi oleh ledakan media digital yang dianggap saingan pembunuh industri TV.

NET TV sedar, media baharu boleh saja mendepani dalam saingan informatif, komunikasi awam dan kandungan viral, namun jenaka berkelas informatif masih menjadi aset utama industri TV yang mampu memacu ketahanan daya tontonan.

Selain menjadi siaran ikon kendalian hos wanita, Sarah Sechan bukan bertema feminin melulu. Program ini lebih serius mengangkat tema pengisian minda baharu dan meletakkan wanita sebagai pemacu diskusi idea- idea dan isu kontemporari Indonesia.

Strategi original NET TV memang menggemparkan pemahaman bisnes penyiaran abad 21.

Stesen ini mengajar operator stesen TV, wujudnya originaliti idea kreatif yang tidak mencedok dan menyontek formula TV dari Barat. Apa lagi berkiblatkan K-Pop yang relatifnya penuh dengan drama rantaian dan lambakan program manipulasi muzikal.

NET TV bukan saja mengoptimumkan program berasaskan aset studionya, malah drama komedi East yang dilancarkan sejak awal 2014, kekal bertahan hingga hari ini. Tahun 2019 ini, siri sitcom East mencipta sejarah apabila memasuki episod 300 pada tahun kelima.

Aneh? Drama yang 100% menggunakan set dan kehidupan staf penerbitan di stesen TV itu sendiri, mampu bertahan siaran selama lima tahun.

NET TV memberi gambaran manifestasi industri penyiaran. Antara stesen peniru dan organisasi kreatif yang berani membuat pembaharuan.

Industri TV tempatan menuju mati kerana otak beku tenaga kreatifnya yang malas meneroka potensi berubahan idea baharu.

Siang malam yang difikirkan ialah idea yang sama. Walhal drama orang Melayu berebutkan harta, atau kisah cinta tiga segi yang komplikated. Atau jahatnya ibu tiri, atau kisah perempuan perampas laki orang.

Makin hebat, idea ustaz kaki seks atau kembali klise dengan kisah lelaki playboy yang buas nafsunya.

Masalah utama stesen TV kita ialah meniru dan meniru.

Stesen A meniru produk luar negara. Stesen B meniru pula stesen A. Kerja kita menyontek saja sampai mati! – 16 Jun, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen