Putin hadiahkan ais krim sempena hari jadi presiden China


Presiden China Xi Jinping melihat hadiah ais krim diberikan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin sempena hari ulang tahunnya ke-66, di Dushanbe. – Gambar AFP, 16 Jun, 2019.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menghadiahkan satu kotak besar ais krim kepada rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping sempena ulang tahun ke-66, sebelum sidang kemuncak di Tajikistan semalam, sebagai tanda hubungan erat antara kedua-duanya.

“Selamat hari jadi. Saya gembira ada kawan seperti awak,” kata Putin kepada Xi, menurut laman web Kremlin.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di ibu kota Tajik, Dushanbe bagi sidang kemuncak kelima persidangan CICA yang turut dihadiri delegasi dari 27 negara termasuk Iran dan Qatar.

Minggu lalu, Xi mengadakan lawatan tiga hari ke Rusia untuk melawat Putin, yang digambarkan sebagai “kawan baik”, ketika kedua-dua negara menjalinkan hubungan akrab, sementara hubungan dengan AS tegang.

“Kami bawa hadiah,” kata Putin sebelum menyerahkan sekotak besar ais krim Rusia ketika suhu di Dushanbe mencecah lebih 30 darjah selsius.

Antara hadiah lain ialah kek dan pasu bunga yang dihias indah. – AFP, 16 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen