Putera Mahkota Arab Saudi tuduh Iran serang kapal minyak


Putera Mahkota Mohammed Salman menuduh Iran melakukan serangan terhadap dua kapal tangkinya di terusan perkapalan Teluk pada Khamis lalu. – Gambar fail AFP, 16 Jun, 2019.

PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman menuduh Iran melakukan serangan terhadap dua kapal tangkinya di terusan perkapalan Teluk, menambah “tidak akan ragu-ragu” untuk menangani sebarang ancaman, menurut satu sedutan temu bual yang disiarkan hari ini.

“Rejim Iran tidak menghormati kehadiran perdana menteri Jepun sebagai tetamu di Tehran dan memberi respons terhadap usaha diplomatiknya dengan menyerang dua kapal minyak, di mana salah satunya ialah milik Jepun,” kata Putera Mohammed kepada akhbar harian Arab, Asharq al-Awsat, merujuk kepada serangan di Teluk Oman pada Khamis.

“Kami tidak mahu peperangan di rantau ini. Tetapi kami tidak akan teragak-agak berdepan dengan ancaman yang dilakukan terhadap rakyat kami, kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan kami,” katanya.

Serangan berkembar itu menyebabkan harga minyak mentah naik ketika hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat masih tegang.

Kokuka Courageous, milik Jepun membawa bahan metanol mudah terbakar menerusi Teluk Oman ketika ia tiba-tiba meletup, menyebabkan kebakaran yang dengan cepat dikawal.

Sebuah lagi kapal membawa minyak milik syarikat Oslo, Frontline turut menjadi sasaran.

Dua kapal itu diserang ketika Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Iran di Tehran.

Presiden AS Donald Trump berkata serangan itu hampir pasti dilakukan oleh Iran.

Tehran menafikan terbabit dalam serangan itu. – AFP, 16 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen