SEORANG pakar kualiti air menegaskan bahawa sumber utama air Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh sudah tercemar akibat aktiviti perlombongan dan perladangan walaupun kerajaan menunjukkan hasil kajian yang sebaliknya.
Seorang lagi aktivis sosial yang bekerja untuk memasang telaga tiub bagi masyarakat itu di Gua Musang, Kelantan mendakwa kerajaan mengambil air dari sungai yang jarang digunakan suku Bateq sebagai sumber utama air.
Walaupun kedua-dua mereka tidak menafikan hasil kajian kerajaan bahawa Sungai Lebir tidak tercemar akibat aktiviti perlombongan, mereka berkata keputusan itu tidak menunjukkan gambaran sebenar.
Ini kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya mengambil satu sampel dari sumber itu, kata Profesor Maketab Mohamad yang mengajar pengurusan kualiti air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Jihan Halid dari kumpulan aktivis yang membina telaga tiub bagi penempatan Orang Asli, mendakwa kerajaan mengambil sampel air dari Sungai Lebir yang terletak sejauh lima kilometer dan bukan sumber utama air masyarakat itu.
Maketab, yang pernah mengetuai kmpulan alam sekitar, bekerjasama dengan suku Bateq kira-kira setahun. Beliau berkata sumber utama komuniti itu adalah empangan kecil yang mengumpulkan air menerusi sistem bekalan air secara graviti (GFS).
Sejak setahun lalu, air yang dikumpulkan menerusi sistem itu mengandungi bahan kimia yang dipercayai digunakan dalam perladangan minyak sawit dan perlombongan.
Kedua-dua aktiviti itu berlaku di hilir perkampungan tersebut.
Maketab memberitahu The Malaysian Insight bahawa bahan racun perosak dan baja daripada aktiviti perladangan, dan logam berat yang terhasil akibat perlombongan, dipercayai mencemarkan empangan GFS.
Beliau mempersoalkan sama ada ujian JAS di sungai itu memberi gambaran sebenar mengenai kualiti air sepanjang tahun.
“Sampel tunggal (JAS) tidak menunjukkan gambaran penuh kerana sampel itu perlu diambil pada tempoh yang berbeza seperti ketika hujan dan tidak hujan, dan ketika aktiviti perlombongan tidak aktif atau beroperasi penuh.”
“Apakah parameter yang diguanakan JAS bagi menguji sampel air itu? Adakah JAS menganalisis bakteria dan logam berat?” soal Maketab ketika mengulas laporan agensi kerajaan itu yang mengumumkan tiada pencemaran dari aktiviti perlombongan. – 16 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen