INDIA mengambil keputusan untuk menaikkan tarif 29 barangan import dari Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa kali menangguhkan langkah itu sejak mengumumkannya pada tahun lalu, lapor media.
New Delhi mahu menaikkan cukai import ke atas barangan AS termasuk epal dan badam susulan keengganan Washington mengecualikan tarif aluminium dan besi.
Namun kenaikan tarif itu ditangguhkan beberapa kali bagi memberi laluan kepada rundingan perdagangan antara kedua-dua negara itu.
Bagaimanapun keputusan Presiden Donald Trump mengeluarkan New Delhi dalam status perdagangan utama pada awal bulan ini menyebabkan India meneruskan langkah menaikkan tarif tersebut.
Portal Economic Times melaporkan, India tidak akan menangguhkan lagi langkah menaikkan cukai import itu yang akan dikuatkuasakan bermula Ahad.
Agensi berita Press Trust of India berkata kementerian kewangan akan membuat pengumuman rasmi walaupun keputusan itu sudah dimaklumkan kepada AS.
Ketegangan perdagangan itu berlaku ketika Washington berusaha mengukuhkan hubungan dengan India sebagai mengimbangi China dan Trump menyatakan hubungan baiknya dengan Perdana Menteri Narendra Modi.
Trump dan Modi dijangka bertemu pada sidang G20 pada hujung bulan ini di Osaka, Jepun dan isu perdagangan itu mungkin akan dibincangkan. – AFP, 15 Jun, 2019.
Komen