'Doktor seksi' Myanmar kecam kerajaan batal lesen perubatan


Cara Nang Mwe San berpakaian seksi mengundangkan kemarahan Majlis Perubatan Myanmar yang mengeluarkan surat untuk membatalkan lesennya. – Gambar Facebook, 15 Jun, 2019.

SEORANG doktor dan model Myanmar mengecam tindakan kerajaan mencampuri urusan peribadinya selepas lesen perubatannya dibatalkan kerana menyiarkan gambar berpakaian seksi dalam media sosial.

Nang Mwe San sering memuat naik gambarnya berpakaian renang di Facebook selain pakaian seksi menyerupai model Amerika Syarikat (AS) Kendall Jenner.

Namun tahap penerimaan cara berpakaian sedemikian di negara itu masih belum terbuka walaupun golongan muda mula meneroka cara berpakaian moden dan budaya pop.

Cara berpakaian Nang mengundangkan kemarahan Majlis Perubatan Myanmar yang mengeluarkan surat untuk membatalkan lesennya pada 3 Jun lalu.

Majlis perubatan itu memberi alasan gaya pemakaiannya bertentangan dengan budaya dan tradisi Myanmar.

Notis itu dikeluarkan selepas satu amaran diberikan pada Januari, dan Nang berjanji untuk memadamkan semua gambar tersebut.

Doktor berusia 29 tahun itu berkata tiada arahan larangan spesifik terhadap kod pemakaian dalam etika perubatan.

Katanya, beliau tidak berpakaian sedemikian ketika merawat pesakit.

“Saya tidak fikir mereka (kerajaan) perlu mencampuri kebebasan peribadi dan bukannya melibatkan hal mereka,” katanya sambil berharap lesen perubatannya dikembalikan semula. – AFP,  15 Jun, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen