Putrajaya perlu beri peruntukan lebih kepada sektor kesihatan


Noel Achariam

Persekitaran ekonomi yang menekan rakyat kini memaksa ramai daripada mereka kembali mengunjungi hospital kerajaan menyebabkan beban sektor kesihatan awam bertambah dan peruntukan perlu ditambah bagi memastikan penjagaan kesihatan berkualiti masih dapat ditawarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017.

BAJET Malaysia untuk penjagaan kesihatan kurang 3% berbanding cadangan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dan ia perlu dinaikkan, kata seorang perunding kesihatan.

CEO InfoMed Mohan Manthiry berkata bajet semasa Malaysia untuk penjagaan kesihatan adalah 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kerajaan perlu menambah peruntukan sekiranya mereka mahu menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti terutama di hospital awam.

“Melihatkan kepada populasi negara apabila majoriti mereka kini tertekan dengan inflasi kembali mengunjungi hospital kerajaan.

“Rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik kerana gaji yang tidak banyak berubah, pendapatan yang kecil dan pertumbuhan negatif.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak perkhidmatan, meningkatkan fasiliti dan mengurangkan kesesakan.

“Dan untuk melakukan semua ini dengan berkesan, kerajaan perlu menambah peruntukan untuk penjagaan kesihatan,” katanya ketika bercakap pada Seminar Insuran dan Kesihatan Perubatan di Institut Insuran Malaysia hari ini.

Dilaporkan yang Kementerian Kesihatan akan meminta peruntukan yang lebih banyak menerusi Bajet 2018 kerana kos perubatan yang semakin tinggi.

Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata RM23 juta yang diperuntukkan tahun ini tidak mencukupi memaksa kementerian memohon peruntukan lebih besar tahun depan.

Katanya, kementerian sentiasa komited untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat.

Bajet 2018 akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober depan. Tahun-tahun sebelum ini, Kementerian Kesihatan menerima antara 10% sehingga 15% pecahan bajet tahunan keseluruhan.

Mohan berkata menurut WHO, bajet penjagaan kesihataan Malaysia sepatutnya pada kadar 7% daripada KDNK negara.

“Bajet semasa Malaysia adalah 4% KDNK. Singapura yang merupakan salah satu negara terbaik yang menawarkan penjagaan kesihatan hanya membelanjakan 5% KDNK negara dan mereka masih mampu menyediakan penjagaan kesihatan yang baik.

“Ini adalah kerana dana itu digunakan dengan berkesan, jika tidak ia tidak akan sampai kepada rakyat.”

Mohan juga berkata sektor kesihatan perlu dipacu kepada pendekatan pencegahan dan menambah baik sistem pendidikan untuk menangani peningkatan kes penyakit kronik.

“Wujud trend membimbangkan dalam penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan obesiti.

“Ini sesuatu yang kita wajar beri perhatian kerana ia menggunakan banyak sumber dalam penjagaan kesihatan.”

Kata Mohan lagi, menurut WHO 70% kes kematian dunia adalah disebabkan penyakit ini.

Di Malaysia, terdapat peningkatkan dalam kes penyakit ini kerana Malaysia kini berada di tangga pertama dalam kalangan negara rantau ini bagi penyakit kencing manis dan obesiti.

“Untuk menguruskan perkara ini kita perlu individu bertanggungjawab. Kita tak boleh biarkan kepada kerajaan, doktor dan hospital untuk menanganinya.

“Semuanya ada kaitan dengan gaya hidup dan salah satu punca utama adalah makanan kita.

“Kita perlu rancangan jangka panjang dan saya sudah lama memperjuangkan keperluan pendidikan penjagaan kesihatan.”

Mohan mengatakan sangat mustahak untuk memperkenalkan mata pelajaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan sejak sekolah rendah.

“Sepatutnya ada kurikulum yang mengajar kanak-kanak semua perkara tentang penjagaan kesihatan daripada makanan, persekitaran dan senaman.

“Pendidikan perlu bermula dari rumah tetapi ia tidak berlaku, jadi ia perlu menjadi pendidikan formal.

“Jadi, bagus sekali sekiranya ia boleh dilaksanakan di sekolah rendah dan kerajaan tidak perlu berbelanja lebih kerana ia sebahagian daripada kurikulum.” – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen