China tepis dakwaan 'langgar lari' di Laut China Selatan


Nelayan Filipina yang ditinggalkan di lautan selepas perlanggaran itu semalam dibawa pulang menaiki kapal tentera laut Filipina. – Gambar EPA, 15 Jun, 2019.

BEIJING hari ini mengesahkan kapal pukat tundanya melanggar sebuah bot nelayan Filipina sehingga tenggelam di Laut China Selatan, Ahad lalu.

Bagaimanapun, China menafikan ia kejadian “langgar lari”.

Kapal tunda itu meninggalkan 22 nelayan di lokasi kejadian di Tebing Reed sehingga mencetus kemarahan pihak berkuasa Filipina.

Kedutaan China di Manila berkata anak kapal Yuemaobinyu 42212 meninggalkan bot nelayan Filipina itu atas faktor keselamatan.

“Kapten kapal China cuba untuk selamatkan nelayan tetapi takut dikepung oleh bot nelayan Filipina lain,” menurut kenyataan kedutaan.

Kenyataan itu juga menafikan ia kejadian langgar lari seperti yang didakwa oleh pihak berkuasa Filipina berdasarkan keterangan anak kapal tunda China itu yang “mengesahkan nelayan-nelayan tersebut telah diselamatkan”.

Perkara ini bagaimanapun disangkal oleh 22 nelayan itu, yang berkata mereka terpaksa menunggu selama berjam-jam sebelum diselamatkan.

Mereka kemudiannya diselamatkan oleh bot Vietnam dan dibawa pulang dengan sebuah kapal tentera laut Filipina, semalam.

Pengawal pantai Filipina sudah memulakan siasatan ke atas kejadian yang disifatkan oleh Presiden Rodrigo Duterte sebagai keterlaluan dan biadab. – AFP, 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen