7 maut ketika bersih tangki septik hotel


Kematian akibat sesak nafas dalam pembentung penuh gas berbahaya sering dilaporkan di seluruh negara. Tahun lepas lima orang meninggal dunia di New Delhi ketika membersihkan tangki rawatan kumbahan. – Gambar AFP, 15 Jun, 2019

KERANA tidak menggunakan peralatan keselamatan, seramai tujuh orang dilaporkan maut kerana sesak nafas ketika sedang membersihkan sebuah tangki septik hotel di barat India, kata polis hari ini.

Pemilik hotel dituduh menyebabkan kematian kerana cuai dalam kejadian Jumaat lalu di daerah Vadodara, Gujarat.

Empat daripada tujuh mangsa dipanggil untuk membersihkan tangka manakala tiga lagi adalah pekerja hotel yang membantu.

Beratus-ratus ribu orang kebanyakannya golongan kasta rendah bekerja membersihkan paip bawah tanah dan tangki septik tanpa sebarang alat perlindungan atau topeng.

Pegawai bomba Vadodara Nikunj Azad berkata, pada awalnya hanya seorang memasuki tangki tetapi tidak keluar dan menjawab panggilan.

“Tiga yang lain kemudian masuk ke dalam untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Apabila keempat-empat mereka tidak muncul selepas beberapa waktu, tiga pekerja hotel pula memasuki tangki berkenaan.

“Mayat mereka dibawa keluar dan dihantar untuk bedah siasat,” katanya.

Kematian akibat sesak nafas dalam pembentung penuh gas berbahaya sering dilaporkan di seluruh negara.

Tahun lepas lima orang meninggal dunia di New Delhi ketika membersihkan tangki rawatan kumbahan.

Penggubal undang-undang India telah meluluskan beberapa undang-undang yang bertujuan untuk menghapuskan amalan yang sudah lama digunakan untuk pembersihan secara manual, yang terkini pada 2013.

Tidak ada data rasmi tetapi kajian menunjukkan kira-kira 1,370 orang maut setiap tahun kerana melakukan kerja berbahaya. – 14 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen