BN tidak belanja sebanyak yang didakwa untuk tebatan banjir, kata Pulau Pinang 


Looi Sue-Chern

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow (kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada sidang media di Komtar hari ini. – Gambar Facebook, 26 September, 2017.

PENTADBIRAN kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini berkata kerajaan persekutuan Barisan Nasional tidak membelanjakan peruntukan bagi projek tebatan banjir di negeri itu sejak 2006 sebagaimana yang didakwa ahli politiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meminta peruntukan RM2.6 bilion, namun hanya RM443 juta dibelanjakan untuk melaksanakan projek di bawah Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9) dan RMK-11.

Beliau berkata, peruntukan kepada Pulau Pinang dikurangkan daripada peruntukan asal yang diminta daripada kerajaan persekutuan.

Menyangkal dakwaan Ketua Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman semalam bahawa Barisan Nasional membelanjakan RM1.49 bilion untuk 10 projek bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri pembangkang di bawah RMK-9 (2006-2010), Chow berkata hanya RM306 juta dibelanjakan.

“Terdapat banyak projek yang boleh dilakukan dengan peruntukan RM1.49 bilion. Namun komponen pelaksanaannya adalah kecil, yang mana ia juga bermakna banyak komponen lain yang tidak dilaksanakan.

“Sekiranya ia dilaksanakan, masalah banjir sudah pasti dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Chow berkata RM193 juta dana untuk projek tebatan banjir di bawah RMK-10 (2011-2015) turut dipotong kepada RM132 juta selepas projek dimulakan.

“RM125 juta daripada jumlah itu dibelanjakan untuk projek tebatan banjir. Mungkin terdapat simpanan,” katanya.

Di bawah RMK-11 (2016-2020), peruntukan awal persekutuan sebanyak RM205 juta juga dikurangkan kepada RM23 juta, yang mana hanya RM12 juta dibelanjakan.

Chow berkata perbelanjaan RM443 juta daripada peruntukan yang dipinda RM461 juta di bawah tiga Rancangan Malaysia menunjukkan banyak projek tebatan banjir di Pulau Pinang tidak dilaksanakan sepenuhnya untuk mengatasi banjir kilat di negeri itu.

“Zainal menyatakan peruntukan asal, kos anggaran, dalam kenyataannya kepada media semalam.

“Beliau tidak berikan butiran peruntukan yang dipinda untuk projek terbabit. Namun kini kita tahu jumlah perbelanjaan sebenar hanya RM443 juta.

“Beliau menuduh kita megelirukan rakyat, tetapi beliau tidak sepatutnya menyembunyikan fakta penting ketika membentangkan projek tebatan banjir Barisan Nasional,” katanya.

Semalam, Zainal berkata RM404.5 juta dibelanjakan bagi projek tebatan banjir di bawah RMK-10 dan RM150 juta yaang baru diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang di bawah RMK-11.

Pemimpin Umno yang mempengerusikan Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, turut menuduh kerajaan Pulau Pinang cuba melindungi niat jahat - bagi mengelirukan rakyat - dengan mempersoalkan komitmen kerajaan persekutuan sebanyak RM2 bilion untuk projek tebatan banjir di negeri itu.

Zainal berkata amat “memalukan” Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Chow tidak tahu tentang projek berkenaan apabila semuanya dalam pengetahuan JPS negeri.

Chow juga maklum mengenai laporan semalam bahawa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah menjelaskan kelewatan Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang kerana masalah pengambilan tanah.

Beliau berkata dalam kenyataan oleh menteri tersebut dan Zainal jelas menunjukkan kerajaan persekutuan memainkan peranan besar dalam melaksanakan projek tebatan banjir.

“Kerajaan negeri berhak untuk meminta kerajaan persekutuan menjalankan tanggungjawabnya untuk menyelesaikan masalah banjir di Pulau Pinang. Mereka sudah rancangkan semua projek,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang tidak berminat untuk bergaduh dengan BN, kerana negeri itu lebih berminat untuk mendapatkan semula dana yang dijanjikan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang dan BN bertelagah berhubung peruntukan projek tebatan banjir selepas negeri itu dilanda banjir kilat awal bulan ini.

Kerajaan Pulau Pinang meminta BN menjelaskan mengapa peruntukan RM1.7 bilion tidak disalurkan kepada projek tebatan banjir di negeri itu.

Menurut kerajaan negeri itu, banjir kilat baru-baru ini berlaku berikutan hujan lebat yang berpunca daripada Taufan Doksuri. BN menuduh pentadbiran Pakatan Harapan gagal menyelesaikan masalah banjir.

“Kawasan banjir ini tidak muncul tiba-tiba kerana PH berkuasa di Pulau Pinang. Masalah ini berlarutan sejak berdekad lalu, yang menjelaskan RM2.6 bilion yang dimohon oleh JPS negeri sejak beberapa tahun lalu,” kata Chow.

Tambahnya kerajaan negeri melaksanakan projek tebatan banjir menerusi JPS negeri dan pihak majlis tempatan di 28 lokasi banjir di Pulau Pinang dengan hasil yang memuaskan.

“Kita masih ada 15 kawasan untuk diteliti. Pelan sudah ada dalam perancangan dan akan dilaksanakan tidak lama lagi. Jadi, 43 daripada 77 kawasan akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Baki kawasan akan diselesaikan bermula tahun hadapan. Lebih baik sekiranya kerajaan persekutuan dapat memberikan peruntukan daripada pelan yang dirancang dengan JPS negeri,” katanya. – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen