PBB harap pilihan raya 2020 Burundi berlangsung aman, bebas dan adil


Burundi terjerumus dalam kancah krisis pada April 2015, ketika Presiden Pierre Nkurunziza membuat keputusan kontroversi untuk bertanding mempertahankan jawatannya bagi penggal ketiga, menyaksikan kemenangannya pada Julai 2015. – Gambar fail EPA, 15 Jun, 2019.

PILIHAN raya Brundi yang akan diadakan pada 2020 diharap berlangsung secara bebas, adil dan aman, kata ketua Suruhanjaya bagi Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jurg Lauber pada Jumaat.

Beliau berkata keputusan pilihan raya itu nanti diharap diterima baik oleh semua pihak di dalam dan luar negara.

Pilihan raya adalah untuk memastikan keadaan aman dan kestabilan menjadi lebih baik dan berkekalan, membolehkan perkongsian dan kerjasama pembangunan berterusan di Burundi, lapor agensi berita Xinhua. 

Inisiatif menggalakkan perdamaian dan dialog di kalangan semua pihak berkepentingan, termasuk di peringkat komuniti, amat bermakna untuk mengurangkan ketegangan semasa tempoh pilihan raya, kata Lauber.

Burundi terjerumus dalam kancah krisis pada April 2015, ketika Presiden Pierre Nkurunziza membuat keputusan kontroversi untuk bertanding mempertahankan jawatannya bagi penggal ketiga, menyaksikan kemenangannya pada Julai 2015. 

Pencalonannya menerima bantahan hebat pembangkang dan kelompok masyarakat madani, mengundang berlakunya gelombang protes, keganasan dan rampasan kuasa yang gagal pada Mei 2015.

Pada Ogos 2018, cadangan mengadakan pilihan raya pada 2020 ditandatangani kebanyakan parti politik di Burundi, bersetuju mengambil bahagian secara aman. – Bernama, 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen