CASTER Semenya akan bertanding dalam acara 800m di Rabat pada Ahad, kata penganjur, selepas juara Olimpik dua kali dari Afrika Selatan itu menang perbicaraan mahkamah berhubung peraturan berkenaan jantina.
Semenya kini bebas mengambil bahagian dalam mesyuarat Liga Diamond selepas mahkamah tertinggi Switzerland menolak permintaan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk mengenakan semula peraturan yang mewajibkan beliau menurunkan kadar testosteronnya sebelum menyertai acara tertentu.
Penganjur acara Maghribi pada mulanya enggan membenarkan atlet Afrika Selatan itu mengambil bahagian tetapi pada Jumaat “mengesahkan jemputannya”.
“Selepas memeriksa keadaan Caster Semenya berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan Switzerland, dan Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan, ketua mesyuarat olahraga antarabangsa di Rabat, Alain Blondel, dengan senang hati mengesahkan jemputan itu,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi acara tersebut.
Mahkamah persekutuan Swiss mengeluarkan keputusan pada Rabu, menjelaskan “Caster masih dibenarkan untuk bertanding tanpa sekatan dalam kategori wanita pada masa ini.”
IAAF pada awal bulan ini menentang keputusan dibuat oleh mahkamah yang menggantung sementara peraturan persekutuan selepas rayuan oleh Semenya yang memenangi acara larian 800m wanita pada Olimpik 2012 dan 2016.
Atlet itu mencabar keputusan Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan yang sebelum ini mendapati peraturan itu “diskriminasi” tetapi “perlu” untuk memastikan keadilan dalam olahraga wanita.
Peraturan ini memerlukan wanita yang mempunyai kadar paras hormon lelaki lebih tinggi berbanding normal, satu keadaan yang dikenali sebagai hiperandrogenisme, agar menurunkan jumlah testosteron jika ingin bertanding dalam acara 400 meter, lari berpagar dan 800 meter.
“Tiada perempuan patut dikenakan peraturan ini,” kata Semenya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata mempertimbangkan untuk tidak menyertai acara 800m sebagai solidariti untuk wanita tetapi mengambil keputusan melakukannya bagi menunjukkan kepada IAAF pertubuhan itu tidak mampu menghalang mereka.
Atlet itu juga menolak dakwaan IAAF bahawa ia komited terhadap penyertaan penuh wanita dalam bidang sukan.
“Saya seorang wanita, tetapi IAAF sekali lagi cuba menghalang saya melakukannya,” katanya dalam kenyataan itu, sambil menegaskan dadah hormon yang diperlukannya untuknya bertanding membuatnya berasa “sentiasa sakit dan tidak mampu memberi tumpuan selama bertahun-tahun.”
“Tiada wanita lain terpaksa melalui semua ini,” katanya. – AFP, 15 Jun, 2019.
Komen