PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) berkata pada Jumaat ia mengkuarantin 5,200 pendatang terutamanya yang terdedah kepada beguk, susulan lonjakan kes wabak penyakit berjangkit baru-baru ini di Amerika Tengah.
Pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) memberitahu AFP bahawa sehingga 13 Jun, hampir 4,300 tahanan di 39 kemudahan dikuarantin kerana terdedah kepada penyakit beguk, lebih 800 kerana cacar air, dan kira-kira 100 kerana kedua-dua penyakit itu.
Kes pertama beguk disahkan berlaku di kalangan tahanan ICE dilaporkan pada 7 September 2018 dan sejak itu angka berkenaan meningkat kepada 334, kata pegawai.
Nathalie Asher daripada ICE, berkata 75% daripada jumlah tahanan sekarang adalah dari sempadan, manakala yang lain ditahan di AS.
Berdasarkan perkara ini dan kejadian wabak baru-baru ini di Amerika Tengah, membuktikan ia faktor penyumbang terbesar, katanya.
“Impak itu penting dalam jangka pendek dan panjang,” katanya, termasuk penahanan lebih lama dan penangguhan penghantaran balik pendatang.
Agensi itu memberikan vaksin campak, beguk, dan rubella (MMR) serta mengasingkan mereka selama 25 hari daripada tempoh inkubasi terakhir, katanya.
AS mengalami wabak beguk beberapa tahun lalu, yang saintis percaya mungkin dikaitkan dengan kekebalan vaksin yang semakin berkurangan dari masa ke masa dan keperluan vaksin tambahan pada usia 18 tahun.
Bilangan kes menurun secara dramatik selepas program dos dua MMR diperkenalkan pada 1989, menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), dengan hanya beberapa ratus dilaporkan setiap tahun bagi beberapa tahun selepas itu.
Tetapi jumlah itu meningkat sejak 2006, dengan lebih 6,000 kes pada 2006, 2016 dan 2017.
Terdapat 1,002 kes dilaporkan tahun ini dari 1 Januari hingga 24 Mei. – AFP, 15 Jun, 2019.
Komen