Yapeim lanjut tempoh gantung tugas Abibullah


Nabihah Hamid

Yapeim terlibat dalam beberapa skandal salah laku pentadbiran dan siasatan dalaman sedang dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2019.

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) melanjutkan tempoh penggantungan Ketua Pengarahnya Abibullah Samsudin untuk siasatan salah laku selama sebulan lagi.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yapeim Mohd Daud Bakar berkata keputusan itu dibuat agar siasatan dalaman dijalankan dengan baik.

“Penggantungan tugas Abibullah dilanjutkan bagi membolehkan Yapeim menyiasat kes tersebut secara telus, adil dan saksama serta melindungi kepentingan kedua-dua pihak terbabit sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

Tambahnya tindakan menggantung tugas adalah amalan biasa bagi tujuan siasatan salahlaku selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 14(2) Akta Pekerjaan 1955.

Dengan itu juga, Pengarah Pengurusan Strategik Parihah Hasan akan terus memangku jawatan Abibullah sebagai ketua pengarah untuk tempoh sebulan lagi, katanya.

Mei lalu Yapeim menggantung tugas Abibullah susulan dakwaan salah laku ke atasnya. Tempoh penggantungan itu sepatutnya berakhir pada Rabu.

Abibullah mencetuskon kontroversi apabila satu rakaman video menunjukkan beliau mengugut kakitangan Yapeim supaya tidak menyokong Pakatan Harapan tular di media sosial.

Bagaimanapun Daud menafikan penggantungan itu mempunyai kaitan dengan penularan video itu.

Katanya penggantungan Abibullah selaras dengan dapatan laporan audit oleh firma Pricewaterhouse Coopers (PwC) berhubung penyelewangan dalam Yapeim semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Dakwaan penyelewengan itu, yang dilaporkan The Malaysian Insight termasuk penyalahgunaan RM1 juta daripada dana anak yatim bagi membayar yuran guaman pembantu Najib Razak.

Selain itu The Malaysian Insight mendedahkan pembayaran gaji dan bonus sehingga RM400,000 kepada pegawai tinggi agensi kebajikan itu.

Turut dilaporkan ialah kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emas Ar-Rahnu namun ia dinafikan oleh Yapeim. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen