PERBICARAAN petisyen Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019 (Pilpres 2019) bermula di Mahkamah Konstitusi Indonesia (MK) pada Jumaat.
MK, terletak di Jalan Merdeka Barat, Jakarta di kawal ketat bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Menurut jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, sejumlah 48,000 anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan di kawasan sekitar MK dan beberapa lokasi strategik yang lain.
Sehingga tengah hari ini, tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.
Pada 24 Mei, calon Presiden Pilpres 2019, Prabowo Subianto - diumumkan tewas oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) - beliau melantik peguamnya, Bambang Widjojanto, mengemukakan petisyen pilihan raya di MK.
Perbicaraan bermula hari ini dengan sembilan hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Anwar Usman, dan keputusan ditetapkan pada 28 Jun 2019 setelah mahkamah mendengar hujah peguam yang mewakili Presiden Joko Widodo (Jokowi), Prabowo dan KPU, serta Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).
Polis Indonesia mendedahkan, lapan orang maut manakala 400 lagi cedera dalam rusuhan pada 21 dan 22 Mei berikutan pengumuman keputusan Pilpres 2019 oleh KPU.
KPU mengumumkan Jokowi memenangi Pilpres 2019 yang berlangsung 17 April lalu.
Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi. – Bernama, 14 Jun, 2019
Komen