Pengganas mainkan konflik Myanmar untuk rekrut militan baru


Yasmin Ramlan

Krisis Rohingya di Myanmar kini berubah menjadi krisis agama sehingga menarik pengganas luar ke sana untuk ‘berjihad’ menentang tentera dan rakyat Myanmar yang majoriti beragama Buddha. – Gambar EPA, 26 September, 2017.

KONFLIK Rohingya Islam di Myanmar meningkatkan potensi negara itu untuk menjadi tempat merekrut pengganas, kata Pengarah Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma Kyaw Win.

Kyaw berkata, isu itu yang merupakan isu kemanusiaan kini berubah menjadi isu keagamaan yang menarik pengganas ke negara itu.

“(Isu) Kemanusiaan menjadi penyubur keganasan di kawasan itu.

“Ada yang mendaftar untuk ‘berjihad’,” katanya semasa membentangkan laporan Penganiayaan Muslim di Myanmar di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) di Petaling Jaya hari ini.

Situasi itu, kata Kyaw, bukan sahaja memberi kesempatan terhadap pengganas untuk merekrut pengganas baru tetapi ia juga akan memburukkan lagi kezaliman tentera Myanmar.

Banyak pihak membuang masa terlibat dalam persoalan sama ada isu ini adalah soal agama atau kemanusiaan.

“Jangan letakkan isu ini sebagai masalah agama. Ia isu kemanusiaan.

“Adalah menjad satu tanggungjawab kita untuk respon kepada isu ini dan bantu mereka,” katanya. 

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut hadir berkata, badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia akan mengadakan kerjasama antara NGO di Myanmar bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan kezaliman terhadap Rohingya di negara itu.

Menurutnya, penganiayaan etnik Rohingya di Myanmar adalah serangan yang disasarkan kepada orang Islam di sana.

“Saya ada bincangkan untuk bekerjasama dengan (NGO) Myanmar di mana ada perkara yang saya ingin tekankan kerana sebelum ini terdapat kumpulan NGO, (ada) di antara mereka yang menentang tindakan tentera (Myanmar).

“Jadi kita akan bekerjasama dengan mereka (NGO Myanmar) untuk menghentikan keganasan ini,“katanya kepada pemberita.

Mohd Azmi berkata, kerajaan Myanmar sewajarnya mengambil kira pendirian Malaysia berkaitan isu itu. Mapim juga katanya akan memberikan mesej yang lebih tegas kepada kedutaan Myanmar di Malaysia berhubung perkara ini.

“Kita menerima kedatangan rakyat Myanmar yang bekerja di sini. Jadi sekurang-kurangnya dengar apa yang ingin kami sampaikan. Kami mungkin akan menyampaikan mesej yang lebih tegas kepada kedutaan Myanmar supaya mereka ambil serius.

“Sekarang mereka (kedutaan Myanmar) tidak menghiraukan bila kita hantar memorandum,” katanya.  – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen