TIADA pencemaran dari lombong di Aring 10, Kelantan yang masuk ke sungai di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan perdana menteri berkata Jabatan Alam Sekitar sudah mengesahkan tiada kebocoran bijih manganese (bijih keluli) dari lombong yang terletak 3km dari kampung Orang Asli Bateq yang menyaksikan 14 orang penghuni di situ meninggal dunia baru-baru ini.
“Keputusan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun mendapati kualiti air di lokasi sampel mematuhi Piawaian Kualiti Air Kebangsaan bagi air mentah.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan pemeriksaan dan ujian makmal untuk mengenal pasti punca jangkitan ini.
“Hasil ujian dijangka akan diperolehi tidak lama lagi,” katanya di pusat kawalan Kampung Kuala Koh hari ini.
Wan Azizah berkata pihak berkuasa menyediakan pusat pemindahan sementara di bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani bagi mereka yang bakal keluar dari hospital.
“Kami mahu mengawal pergerakan mereka kerana kami masih tidak tahu punca penyakit itu.
“Anggaran awal penempatan di pusat bantuan sementara adalah 50 orang. Jumlah maksimum penempatan ialah 400 orang.”
Beliau berkata kerajaan memahami keperluan masyarakat Orang Asli suku Bateq dan memuji organisasi masyarakat sivil yang membantu komuniti itu.
“Atas alasan keselamatan, mereka tidak dibenarkan menyalurkan bantuan itu sendiri. Sebaliknya, kerajaan akan menyalurkan bantuan itu.” – 14 Jun, 2019.
Komen