LELAKI yang dituduh membunuh 51 orang dalam serangan pengganas di masjid Christchurch mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan pembunuhan dan keganasan hari ini dan akan dibicarakan tahun depan.
Muncul di Mahkamah Tinggi Christchurch, Brenton Tarrant hanya berdiam diri ketika peguam Shane Tait mengatakan anak guamnya itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.
Lelaki itu didakwa dengan 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan pembunuhan dan terlibat dalam aksi pengganas ketika insiden keganasan berlaku pada 15 Mac lalu.
Warga Australia berusia 28 tahun itu didakwa melepaskan tembakan di Masjid Al Noor ketika solat Jumaat kemudian ke masjid di pinggir bandar Linwood untuk melakukan serangan kedua.
Mahkamah mengatakan berdasarkan penilaian kesihatan mental, Tarrant wajar untuk dibicarakan atas kejadian pembunuhan terburuk dalam sejarah New Zealand.
“Tidak timbul masalah untuk defendan merayu, memberi arahan kepada penasihat dan menangguhkan perbicaraannya,” kata Hakim Cameron Mander dalam satu kenyataan. – AFP, 14 Jun, 2019
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Chong Choong Kian · Ulasan