Di mana kerajaan negeri ketika kami memerlukan?, tanya Orang Asli


Noel Achariam

Kerajaan masih belum memastikan punca kematian 14 penduduk Orang Asli suku Bateq di Kg Kuala Koh Gua Musang namun beberapa pihak mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran sungai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Jun, 2019.

PENDUDUK Orang Asli suku Bateq di Kg Kuala Koh, Gua Musang kecewa dengan kerajaan negeri Kelantan kerana mengabaikan mereka ketika tragedi yang meragut nyawa 14 penduduk akibat penyakit misteri berlaku.

Tok batin (ketua kampung) Muhamad Pokok memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka berharap dapat melihat kehadiran pegawai negeri ketika krisis berlaku.

“Kami kecewa dengan kerajaan negeri kerana tidak hadir melawat kami di sini.

“Satu-satunya yang kami kenal ialah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad,” katanya.

Pada Isnin, Dr Dzulkefly datang melawat penduduk Orang Asli di Hospital Gua Musang dan kemudiannya pergi ke kampung mereka untuk bertemu dengan penduduk lain di khemah sementara.

Beliau datang ke tapak dengan kakitangan daripada Jabatan Pembangunan Orang Asli (JAKOA).

Beliau juga meminta Orang Asli untuk berpindah ke rumah lebih baik yang mempunyai kemudahan air dan elektrik.

“Saya akan cuba mendapatkan bekalan air bersih dan bekalan elektrik supaya mereka dapat hidup dalam keadaan lebih baik,” katanya.

Selain Dr Dzulkefly, Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial P Waytha Moorthy juga antara menteri lain yang melawat kampung Orang Asli berkenaan.

Sejak awal Mei, 14 Orang Asli termasuk seorang bayi berusia setahun meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas.

Kerajaan masih belum mengenal pasti punca kematian mereka yang mana beberapa pihak mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran sungai.

Pada Rabu, pihak berkuasa telah memasuki hutan bagi mencari jasad 12 Orang Asli yang diletakkan di situ selepas meninggal dunia. 

Mereka juga akan menjalankan bedah siasat kedua ke atas jenazah suku Bateq yang meninggal dunia bagi menentukan punca kematian.

Muhamad berkata, mereka berharap kerajaan negeri akan datang dan membantu keluarga Orang Asli di situ.

“Apa yang kita minta ialah rumah, air dan elektrik.

“Kami sedang menunggu bantuan mereka, kami harap kerajaan negeri dapat mendengar permintaan kami,” katanya. 

Seorang aktivis alam sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Dome berkata, beliau juga kecewa dengan kerajaan negeri yang tidak mengambil sebarang tindakan.

“Suku ini telah diketepikan oleh kerajaan selama bertahun-tahun.

“Kerajaan harus datang dan membantu mereka kerana mereka juga rakyat Malaysia,” katanya yang telah membantu suku Bateq selama 10 tahun.

Dome telah berulang alik dari Terengganu ke Kelantan untuk membantu suku kaum berkenaan.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya berada di lokasi sejak kematian bermula.

“Kami kecewa dengan mereka sejak sekian lama. Kami tak nampak mereka membantu suku Bateq,” katanya. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen