JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (PSC) meminta Latheefa Koya memberi jaminan akan menjalankan tugas mengetuai agensi antirasuah tanpa pengaruh politik.
Pengerusi PSC William Leong berkata, ia merupakan antara tiga perkara yang perlu dijelaskan Latheefa di hadapan jawatankuasa itu pada 20 Jun.
Selain itu, Latheefa juga perlu menjelaskan cara untuk menjalankan tugas dengan baik dengan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baharu, katanya.
Ini memandangkan peguam tersebut tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman dalam sebarang siasatan, tambah Leong.
“Ketiga, kita jemput Latheefa untuk beliau maklum kepada PSC apakah visi dan cadangannya untuk meningkatkan prestasi (SPRM) dan banteras rasuah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Leong berkata tiga perkara itu adalah kebimbangan utama PSC memandangkan peguam hak asasi itu juga sebelum ini terkenal sebagai ahli politik aktif dalam PKR.
Mesyuarat PSC itu seterusnya akan membincangkan lebih terperinci tentang pelantikan Latheefa ke oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa melalui jawatankuasa Parlimen.
Jelasnya ia sepatutnya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan selari dengan manifesto parti itu.
Jawatankuasa itu bertujuan membolehkan Parlimen bertindak sebagai kuasa semak dan imbang namun dikecam hebat susulan pelantikan ketua SPRM baharu itu.
Leong minggu lalu berkata pelantikan Latheefa dibimbangi akan menjejaskan kepercayaan orang awam dan menjejaskan persepsi terhadap SPRM sebagai agensi bebas.
Dalam kenyataan sulungnya selepas dilantik ke jawatan itu, Latheefa pada minggu lalu memberi jaminan untuk melaksana tanggungjawab untuk membanteras jenayah rasuah.
Katanya, segala kritikan yang timbul sejak pelantikannya diumumkan kerajaan berhak disuarakan namun beliau tetap akan mengetuai SPRM demi tugas tersebut.
Latheefa menggantikan Mohd Shukri bin Abdull yang menamatkan kontrak lebih awal selepas menamatkan misinya menyelesaikan dua kes utama – melibatkan SRC International dan 1MDB.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan di mahkamah atas tuduhan berkaitan kes tersebut.– 14 Jun, 2019
Komen