POLIS menggali semula jasad Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuaa Koh, Gua Musang untuk dijalankan bedah siasat kali kedua.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang Taufik Maidin identiti jasad berkenaan dikenal pasti sebagai Romy Hamdan, 29, dari suku Bateq.
Romy dimasukkan ke wad Hospital Gua Musang bulan lalu dan meninggal dunia pada 29 Mei.
Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati beliau meninggal dunia kerana pneumonia dan dikebumikan mengikut cara Islam.
“Jasad ini tidak diletakkan atas papan sebagaimana 12 lagi yang meninggal dunia di kampung ini,” kata Taufik.
Kementerian Kesihatan sebelum ini menyatakan dua daripada 14 kematian melibatkan masyarakat Bateq sejak bulan lalu berpunca daripada pneumonia.
Taufik berkata, pihaknya cuba mengenal pasti di mana jasad kedua dikebumikan.
“Jasad itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat kedua pada pukul 3.30 petang.
“Kita hanya dapat mengesan satu jasad dan kita perlu cari satu lagi.”
Katanya, jasad berkenaan dikebumikan selepas bedah siasat dan ada laporan polis dibuat.
Jasad berkenaan digali semula oleg forensik Hospital Kuala Lumpur, pasukan penyiasat forensik Bukit Aman dan polis.
Beliau berkata, pasukan itu juga akan terus mencari empat lagi jasad yang diletakkan di kawasan hutan.
“Daripada maklumat yang kami perolehi, jasad itu diletakkan agak jauh di dalam hutan.
“Ada tempat yang memerlukan pasukan ini berjalan selama tiga jam untuk tiba dan ada tempat yang perlu menaiki bot.” – 13 Jun, 2019
Komen