PASUKAN mencari ditubuhkan pihak berkuasa sudah mengenal pasti lapan kawasan tempat Orang Asli Bateq Kampung Kuala Koh, Gua Musang meletakkan jasad ahli komuniti itu yang meninggal dunia, kata Menteri P Waythamoorthy.
Menteri perpaduan nasional itu berkata misi mencari masih diteruskan untuk mengesan empat lagi kawasan jasad mereka yang meninggal diletakkan.
“Kami juga sudah mengenal pasti siapa mereka dan kami percaya baki empat jasad lagi akan dikenal pasti dalam masa beberapa hari,” katanya di pusat operasi di Kampung Kuala Koh hari ini.
Waythamoorthy adalah menteri bertanggungjawab ke atas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Jasad Orang Asli yang meninggal kerana “wabak misteri” sedang dikesan bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan.
Adat Orang Asli Bateq, jasad mereka yang meninggal tidak semestinya dikebumikan tetapi boleh ditinggalkan di atas platform dalam hutan.
Semalam, Pasukan Gerakan Khas menutup jalan keluar masuk ke kampung itu bagi bersiap sedia menghantar pasukan mencari ke dalamnya untuk mengesan 12 jasad Orang Asli Bateq yang dilaporkan maut.
Pasukan mencari itu terdiri daripada anggota bomba, polis dan pakar forensik. – 13 Jun, 2019.
Komen