RAMAI umat Islam di Malaysia menggelengkan kepala berhubung kontroversi perkhidmatan dobi layan diri untuk orang Islam sahaja di Johor yang sedang hebat diperbincangkan di media sosial.
Ramai melihatnya sebagai tindakan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Ini salah. Itu bukan perkara betul,” kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa kepada The Malaysian Insight hari ini.
“Sesetengah rakyat Malaysia memahami Islam secara salah.
“Malah dalam perundangan Islam, adalah salah melakukan amalan sedemikian kerana tiada salahnya dengan berkongsi mesin basuh dengan orang lain,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Komen beliau itu susulan tindakan pemilik kedai dobi layan diri di Muar, Johor yang meletakkan papan tanda melarang orang bukan Islam menggunakan mesi cuci di premisnya.
Menurut pemilik kedai itu, beliau hanya menunaikan tugasnya sebagai seorang Islam dan menggunakan alasan “kesucian” bagi larangan itu.
Pengerusi Kumpulan CIMB, Nazir Razak dalam satu catatan Instagram berkata kewujudan perniagaan sedemikian “membimbangkan”.
“Ini sangat membimbangkan. Kita perlu membanteras ekstremisme jika ingin membina Malaysia yang pelbagai budaya dan progresif.
“Ini semestinya salah tafsiran bagi ajaran Islam,” kata adik Perdana Menteri Najib Razak itu.
Posting beliau itu menerima pelbagai komen daripada pengguna Instagram lain. Ada yang tidak bersetuju dengannya dengan menyokong pelan perniagaan untuk orang Islam sahaja, sementara yang lain bersetuju dengan kritikan beliau.
“Sejujurnya tuan, jika mereka telah menetapkan peraturan seperti itu, apa yang harus dilakukan selain mematuhinya? Ada dobi lain yang terletak di tempat lain yang mengalu-alukan semua orang.
“Apa yang mengelirukan saya adalah kenyataan ‘menjaga kesucian’ yang terpapar di papan itu. Bagaimana dengan wang yang dipegang oleh orang-orang ini?
“Duit kita beredar di seluruh negara setiap hari dan ada di antaranya dipegang oleh mereka yang menghidangkan makanan daging babi. Atau, adakah mereka lupa tentang perincian itu kerana ia wang?” tulis @karenmacdeau.
Pengguna Instagram @fathi.ridzuan berkata: “Ini adalah keadaan yang menyedihkan umat Islam di negara ini. Kita menjadi lebih tidak bertoleransi dan ramai yang menjadi lebih ekstrem dalam pandangan mereka.
“Nabi (SAW) bahkan membenarkan orang bukan Islam untuk tinggal di Mekah pada zamannya, sehingga mereka dihalau oleh golongan Wahabi.”
Timbalan Presiden Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia, R.S. Mohan Shan berkata perniagaan hanya untuk orang Islam tidak akan mnejadikan Malaysia lebih baik, dan akan mewujudkan ketegangan di kalangan penganut agama lain.
Beliau berkata kaum dan agama yang berlainan wujud secara harmoni di Malaysia sejak bertahun lamanya, dengan setiap masyarakat mengamalkan sikap toleransi dan menghormati orang lain.
“Saya tidak mengerti mengapa perkara mudah seperti kedai dobi layan diri boleh menjadi hal agama. Ia tidak baik untuk keharmonian kaum, dan tidak akan membawa kita ke mana-mana.
“Orang harus berfikir dua kali sebelum berbuat demikian, menimbulkan masalah,” kata Mohan, sambil menambah kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap isu berbahaya seperti itu.
“Jika kerajaan hanya membiarkannya, kita mungkin melihat kejadian serupa berlaku selepas ini.
“Ia akan menyebabkan segala-galanya menjadi ‘Islam lawan bukan Islam’. Ia adalah buruk bagi negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, @vaneegnsh di media sosial membangkitkan isu pengasingan penggunaan cawan Islam dengan bukan Islam di sebuah sekolah Hulu Langat baru-baru ini.
“Selepas isu pengasingan gelas minum, sekarang ini. Tahniah Malaysia. Selepas kemerdekaan, kita telah berkembang ke peringkat ini. Malaysia Boleh! #sarcasmintended.”
Di Twitter, Ulya Husamudin (@ulyahusamudin) menyiarkan gambar tertera tulisan: “Imperial Laundry Co. Kami mencuci untuk orang kulit putih sahaja.”
Beliau menulis tweet: “Bagi mereka yang terus mengatakan kedia dobi layan diri untuk Muslim sahaja adalah strategi pemasaran ... ingat ini?”
Pengguna Twitter Aidi Affendi K. (@aidiaffendi) mengkritik “pelan perniagaan” itu.
“Daripada sudut perniagaan, ‘kedai dobi layan diri untuk Islam sahaja’ adalah pelan yang baik, ia memenuhi sasaran kumpulan umat Islam yang paranoid yang mementingkan diri dengan pemikiran cetek.
“Nabi (SAW) mengajar kita bersikap moderat dalam semua aspek. Belajarlah untuk hidup secara harmoni dengan yang lain, ‘kedai dobi layan diri untuk Islam sahaja’ adalah sebaliknya.”
Semalam, Tunku Idris Sultan Ibrahim juga menyuarakan rasa terkejut baginda terhadap isu yang sama melalui Instagram peribadinya.
“Adakah ini benar? Ini terlalu melampau. Saya terkejut.”
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin juga menyifatkan langkah itu sebagai “sempit”, dengan mengatakan amalan itu bertentangan dengan ajaran Islam, yang tidak sesekali ingin membebankan umatnya.
Sisters in Islam (SIS) menganggap dasar “untuk orang Islam sahaja” sebagai “memecahbelahkan”, sambil menambah ia akan memisahkan lagi rakyat Malaysia.
Organisasi bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan semalam berkata rakyat Malaysia harus mengikut Perlembagaan yang melarang diskriminasi agama.
“Jika ini dibenarkan untuk diteruskan, apakah bentuk diskriminasi lain yang akan dikenakan ke atas orang bukan Islam pada masa depan?” soal SIS.
Bagaimanapun, dasar itu tetap mempunyai penyokongnya.
Laporan berita menyebut penasihat Majlis Agama Islam Johor Nooh Gadut berkata orang Islam dan bukan Islam mesti memastikan pakaian mereka tidak bercampur dengan “najis mughallazah”, atau najis berat membabitkan babi dan anjing.
Sesetengah pengguna media sosial juga mempertahankan tindakan kedai dobi layan diri itu dan operatornya.
Ib Nawawi menulis di Facebook yang orang bukan Islam kecewa kerana istilah “kesucian” pada tanda itu, membawa maksud tersirat yang mereka adalah kotor.
“Tidak. Perkataan bersih adalah ‘bersih’. Lawan bagi bersih adalah ‘kotor’, atau kotor. Sebaliknya, ‘suci’ bukan ‘kotor’. Anda boleh jadi sangat ‘bersih’, bebas kekotoran dan kuman, tetapi tidak semestinya ‘suci’.
“‘Suci’ adalah perkara rohani, ia adalah sesuatu yang diperlukan oleh agama, jika anda belajar agama, anda akan faham.” – 26 September, 2017.
Komen