Jabatan Kimia sahkan analisis air di Gua Musang siap


Chan Kok Leong

Jabatan Kimia siap melakukan analisis terhadap sampel air yang diambil dari kawasan Kampung Kuala Koh, Gua Musang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2019.

ANALISIS sampel air diambil dari Kampung Kuala Koh, Gua Musanb sudah siap dan dihantar kepada pelbagai agensi semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Kimia Mohamed Zaini Abdul Rahman.

“Laporan diberikan kepada Jabatan Alam Sekitar Kelantan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Analisis itu dilakukan ke atas sampel air dikutip daripada beberapa tempat dalam Kampung Kuala Koh pada Ahad dan Isnin lalu, tambahnya.

“JAS sedang mengutip lima lagi sampel air untuk diuji daripada pelbagai tempat di Gua Musang. Kawasan ini adalah tempat biasanya Orang Asli tinggal,” kata Zaini.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada air tersebut tercemar.

Pengarah JAS Kelantan Hamzah Mohamad mengesahkan dengan The Malaysian Insight hari ini bahawa mereka ada menerima laporan analisis tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

“Saya percaya kementerian akan keluarkan kenyataan mengenai perkara ini,” kata Hamzah.

14 Orang Asli termasuk seorang bayi berusia setahun daripada kaum Bateq di Kampung Kuala Koh meninggal dunia sejak bulan lepas kerana dipercayai berpunca daripada masalah pernafasan.

Pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan punca kematian sebenar, yang dakwa aktivis kerana pencemaran sungai.

Menurut data Kementerian Kesihatan, terdapat 39 keluarga atau 180 orang suku Bateq menetap di perkampungan itu. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen