VIDEO lucah kini kembali menjadi senjata politik paling jahat dan amat memalukan. Sejak era rakaman video konvensional wujud, skandal aksi seks sudah lama dijadikan alat memusnahkan karektor ahli politik. Itu bermula sejak dekad lapan puluhan.
Kemudian senario jijik ini berlarutan lagi. Tanpa had dan etika hingga ahli politik Malaysia digambarkan sebagai haiwan seks yang buas dan sangat binatang dalam kehidupan seks mereka.
Ini modal syaitan kelas A bagi strategis politik jahat yang percaya: serangan skandal seks ialah sebahagian daripada cara berpolitik.
Sabotaj video skandal seks ahli politik di negara ini, dijadikan setaraf dengan sensasi video seks dalam budaya artis pop di Los Angeles, Seoul dan Jakarta.
Tiga kota itu sentiasa hangat dengan klip seks hingga dunia hiburan glamornya selalu ditandai titik klimaks seks. Setiap tahun, tiga kota hiburan ini dilambakkan dengan video seks artis popular.
Tiga kota pop ini menganggap, skandal seks dalam dunia hiburan sebagai promosi tambahan dalam warna-warni showbiz yang bernilai berbilion ringgit.
Tidak perlu diperincikan, siapa dan apa jenis video seks yang meletup di tiga negara itu sejak sedekad lalu. Ia tiada manfaat kecuali mencetus libido seks pembaca untuk menjejak semula semua skandal yang memalukan ini.
Politik kita sudah tenat dan hodoh!
Negara kini sedang tenat dengan krisis ekonomi. Lebih 14 juta rakyat yang keluar mengundi sama ada pro kerajaan atau pembangkang pada PRU14 lalu, tidak mengharapkan imbalan bahawa 12 bulan selepas memilih kerajaan, negara ini dijenuhkan lagi dengan sebaran video lucah yang keji.
Ibu bapa dan orang dewasa di kalangan rakyat, tidak mengimpikan untuk melalui tahun pertama pemerintanan PH dengan kejutan sebusuk ini. Apalagi untuk menjelaskan kepada anak-anak remaja mengenai soal seks, seks dan seks.
“Betulkah video itu?” Tanya rakan saya yang sudah setahun melinglung.
Rakan saya memiliki agensi media pengurusan iklan. Malang, syarikatnya kini hampir tersembam kerana menguncupkan pelanggan berikutan kelembapan ekonomi menyebabkan pelanggan tidak berminat menyertai iklan media massa.
Ketika menunggu suasana ekonomi kembali melonjak dan bisnesnya sukses semula, dia berasa terganggu dengan isu video seks membabitkan seorang menteri kanan.
“Ya Allah,” kata teman saya yang lain pula.
Sebagai editor kanan berita yang sudah puas bergelumang dengan media massa, dia turut merungut dengan fenomena keji ini. Sesuatu yang langsung tidak dijangka akan berlaku pada era Malaysia Baharu ini.
Selepas 31 tahun bertugas di media arus perdana, rakan saya berkata: “Apakah kita akan berpatah balik ke era berita skandal seks tokoh politik sebagai isu utama?”
Sebelum ini, kami cenderung minum teh sambil berdiskusi soal rakyat marhaen yang sedang tersepit dalam menyesuaikan diri pada era pembaharuan kerajaan PH.
“Takkan esok lusa kita akan menggeledah lagi maklumat soal ranjang dan perlakuan seks. Rakyat menantikan kita sebagai orang media bertindak agresif mendesak kerajaan menyegerakan soal isu kos sara hidup.
“Sekarang sudah lain jadinya,” rungut editor media cetak ini dengan nada penuh kecewa.
Siapa saja yang menyintai negara ini dan berharap ekonomi segera pulih, pasti akan meluat dengan isu ini.
Ketika ratusan syarikat dalam industri SME diambang muflis, mereka tidak dapat menerima hakikat politik bangang ini. Bahawa dua atau tiga bulan ini, negara akan terpesong dengan perdebatan isu skandal seks.
“Celakalah… kalau kita terpaksa menumpukan pada isu seks ketika 200 ribu siswa sedang menggelupur tanpa kerja,” tambahnya.
Pada pagi 11 Jun dengan viralnya video yang sengaja disebarkan, ia menjadi petanda: aspirasi politik haiwan kembali diutamakan ketika rakyat sedang di ambang kekalutan ekonomi.
“Apalah bala kita sampai budaya hodoh tanpa had ini menimpa masyarakat dengan motif politik kelas haiwan begini,” kata seorang rakan wartawan veteran.
Tarikh 11 Jun sepatutnya memulakan momentum pasca raya dengan tumpuan kerajaan kembali fokus untuk menstabilkan ringgit dan mengukuhkan semula Bursa Saham.
Malangnya, mood negatif skandal seks telah mengkaramkam kita semua dengan kecelaruan yang memualkan.
Tarikh 11 Jun, bagi media massa yang pro ekonomi, sasaran utama ialah mendesak kerajaan meneliti stabiliti ringgit. Atau memulihkan aliran dana modal asing untuk kembali ke pasaran domestik bagi meningkatkan peluang pekerjaan.
Bagi pencinta hak asasi pula, mereka mahukan isu masyarakat orang asli Bateq di Sungai Koh, Gua Musang diselesaikan segera.
Bagi yang masih panik dengan perang perdagangan AS dan China yang makin meruncing, mereka mahukan kerajaan menjelaskan secara komprehemsif: Apakah tindakan Malaysia untuk kekal stabil ketika isu Huawei milik China berkrisis dengan konglomerat perisian telefon pintar AS?
Sayangnya, syaitan politik kembali menjarah minda negara.
“Celaka!” Itu maki kawan saya yang sudah enam bulan berdepan krisis ekonomi.
Lesen kontraktor Kelas C miliknya sudah sembilan bulan gagal memperolehi sebarang tender baharu.
“Memang celaka. Rakyat tengah susah, video seks politik pula yang dijadikan agenda politik negara,” makinya. – 13 Jun, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen