Korea Selatan tekan keperluan sidang kemuncak antara Korea


Menteri Penyatuan Korea Selatan Kim Yeon Chul berkata sidang kemuncak antara Korea perlu diadakan. – Gambar AFP, 13 Jun, 2019.

MENTERI Penyatuan Korea Selatan Kim Yeon Chul hari ini menekankan keperluan bagi mengadakan sidang kemuncak antara Korea sehari selepas Presiden Moon Jae In melahirkan hasrat untuk bertemu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un lewat bulan ini, lapor agensi berita Yonhap.

Kim membuat kenyataan itu ketika berucap dalam satu forum yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun pertama sidang kemuncak antara korea yang berlangsung di Pyongyang pada 15 Jun, 2000 antara Presiden Kim Dae Jung dan Kim Jong Il.

“Berbekalkan semangat saling menghormati, mempercayai, keamanan dan timbal balik yang termaktub dalam sidang kemuncak 15 Jun, (kami) akan terus melaksanakan deklarasi bersama Selatan-Utara dan tidak akan menghentikan perjalanan kami untuk keamanan di Semenanjung Korea,” kata menteri itu.

Gesaan beliau berhubung penganjuran sidang kemuncak antara Korea dibuat sehari selepas Moon melahirkan hasrat untuk bertemu Kim sebelum menghadiri sidang kemuncak yang dirancang dengan Presiden AS Donald Trump pada akhir bulan ini.

Moon dan Kim bertemu sebanyak tiga kali tahun lepas dan bersetuju berusaha ke arah pembasmian senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea, mengurangkan ketegangan rentas sempadan dan memupuk kerjasama.

Perbincangan susulan bagaimanapun tidak mencapai sebarang kemajuan sejak beberapa bulan lepas manakala projek kerjasama utama digantung yang kelihatan terjejas akibat kebuntuan dalam rundingan pembasmian senjata nuklear antara Washington dan Pyongyang. – Bernama, 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen