SEORANG penduduk Orang Asli yang membantu pasukan mencari lokasi yang menempatkan 11 jasad suku Bateq berkata, mayat itu mungkin telah dimakan atau dibuang oleh haiwan liar.
Ijai yang juga dari suku Bateq memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia akan ke lima tapak hari ini untuk mencari jasad berkenaan.
“Kami dijangka pergi ke lokasi dengan bot.
“(Tetapi) saya fikir tidak ada (jasad) di lima tempat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, haiwan liar seperti harimau, beruang dan biawak mungkin sudah menjumpai jasad tersebut.
Adalah tradisi bagi suku kaum itu untuk mengembalikan mayat mereka ke hutan di mana ritual itu memerlukan mayat dibungkus kain dengan muka terdedah dan diletakkan di atas pelantar kayu.
Ijai berkata, sekiranya cuaca baik pasukan mencari boleh pergi ke semua tapak dalam masa sehari.
“Tapak paling jauh mengambil masa dua jam. Kita sepatutnya dapat ke sana,” katanya.
Beliau juga berkata, ketika pencarian semalam, pihak berkuasa tidak membuang apa-apa spesimen dari tapak berkenaan dan mengepung kawasan itu dengan pita polis.
Difahamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan bekerjasama memasuki hutan mencari jasad Orang Asli yang meninggal dunia awal bulan ini.

Pasukan Operasi Am telah menyekat akses ke kawasan tersebut sepanjang operasi mencari.
Operasi dilakukan selepas kira-kira 14 Orang Asli dari suku Bateq meninggal dunia akibat penyakit misteri namun pihak berkuasa mengatakan penyakit itu berkemungkinan adalah radang paru-paru atau jangkitan saluran pernafasan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, wabak radang paru-paru tidak ada kaitan dengan pencemaran air atau aktiviti pembalakan seperti yang didakwa oleh ahli alam sekitar dan kumpulan sukarelawan yang bekerja dengan masyarakat Orang Asli.
Amar berkata, perkara itu disahkan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kesihatan dan Unit Bahan Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Sebelum ini pelbagai bentuk fitnah dibangkitkan terhadap kerajaan negeri yang dikaitkan dengan isu Orang Asli di Gua Musang.
“Alhamdulillah pengesahan dibuat oleh beberapa agensi kerajaan bahkan Menteri Kesihatan (Dr Dzulkefly Ahmad) menjelaskan bahawa isu Orang Asli di kampung itu tidak ada kaitan dengan pencemaran air atau perlombongan seperti yang didakwa sebelum ini,” katanya. – 13 Jun, 2019.
Komen