Kakak Putera Mahkota Arab Saudi didakwa di mahkamah Paris


KAKAK kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman akan dibicarakan di Paris bulan depan kerana didakwa mengarahkan pengawal peribadinya memukul seorang pekerja, kata sumber perundangan.

Kes membabitkan Puteri Hassa Salman itu bermula daripada serangan di pangsapuri mewah miliknya di Avenue Foch, di barat Paris pada September 2016.

Sumber memberitahu, perbicaraan dijadualkan bermula 9 Julai.

Menurut keterangan mangsa, dia diarahkan mengubah suai kediaman Puteri Hassa sebelum wanita itu menjadi berang apabila melihat pekerja merakam gambar dan menuduhnya ingin menjual foto berkenaan kepada pihak media.

Mangsa mendakwa puteri berusia 45 tahun itu mengarahkan dia dipukul oleh pengawal peribadinya.

Majalah Le Point melaporkan, puteri itu menjerit-jerit: “Bunuh dia, anjing. Dia tak layak hidup,” ke arah pengawal peribadi terbabit.

Ia arahan supaya mangsa dibelasah.

Mangsa mendakwa ditumbuk di muka dan kedua-dua tangan diikat selain dipaksa mencium kaki puteri berkenaan sepanjang diseksa selama beberapa jam.

Peralatan pertukangan yang digunakan turut dirampas sebelum dibenarkan pulang.

Menurut laporan, mangsa mengalami kecederaan parah dan tidak dapat bekerja selama lapan hari.

Pengawal peribadi terbabit didakwa pada 1 Oktober, 2016 atas tuduhan melakukan keganasan bersenjata, mencuri, melakukan ugutan bunuh dan menahan seseorang tanpa kerelaan. – AFP, 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen