LEBIH 3,200 pekerja di lombong tembaga Chuquicamata di Chile akan melancarkan mogok selepas rundingan antara kesatuan pekerja dan pengurusan gagal, kata pelombong syarikat perlombongan negara Codelco – pengeluar tembaga terbesar dunia.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia kesal dengan keputusan pekerja yang membuat keputusan untuk menolak tawaran kontrak yang diperbaharu selepas rundingan bermatlamat untuk mengelak berlakunya mogok.
“Syarikat ini kesal dengan keputusan kesatuan. Tawaran Codelco adalah serius, bertanggungjawab dan realistik,” katanya.
Rundingan dua minggu dibuat antara pengurusan dan tiga kesatuan yang mewakili pekerja di lombong besar itu.
Tawaran awal syarikat yang ditolak termasuk 1.2% kenaikan gaji dan pakej faedah hampir AS$14,000.
Kesatuan berkata syarikat tidak memberi respons kepada kebimbangan pekerja berkenaan perbelanjaan perubatan dan pencen.
Tawaran yang diperbaiki pada Rabu juga ditolak.
Terletak di padang pasir Atacama di utara Chile, Chuquicamata menghasilkan kira-kira 450,000 tan tembaga setiap tahun. – AFP, 13 Jun, 2019.
Komen