Bekas menteri Argentina dipenjarakan sorok AS$9 juta di biara


Bekas menteri kerja raya Argentina Jose Lopez dipenjarakan enam tahun selepas ditangkap polis ketika cuba menyembunyikan beg berisi wang tunai AS$9 juta di sebuah biara di Buenos Aires. – Gambar AFP, 13 Jun, 2019.

MAHKAMAH semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas bekas menteri Argentina Jose Lopez selepas ditangkap polis ketika cuba menyembunyikan beg berisi wang tunai AS$9 juta di sebuah biara di Buenos Aires.

Kes itu menjadi lambang kepada rasuah negara itu dan yang pertama ditonjolkan selepas Lopez, 58, ditangkap sedang membaling 160 beg masuk ke taman biara itu.

Seorang biarawati Katolik Sister Celia Ines Aparicio, 80, yang didakwa bersubahat dalam kes itu, dibebaskan.

Lopez antara kumpulan pegawai yang rapat dengan mendiang presiden Nestor Kirchner dan penyandangnya, iaitu isterinya Cristina Kirchner.

Lopez dan bekas majikannya, bekas menteri perancangan Julio de Vido – yang turut dipenjarakan kerana rasuah – menguruskan projek kerja awam kerajaan di bawah pemerintahan Kirchners (2003-2015).

Isterinya, Maria Diaz diberikan hukuman tertangguh dua tahun kerana bersubahat dalam kes itu.

Lopez yang juga bekas timbalan menteri kerja awam turut disyaki menyelewengkan duit dalam dua kes rasuah lain.

Tertuduh ditahan di penjara Ezeiza, pinggir Buenos Aires.

Kirchner, kini senator yang mahu bertanding jawatan naib presiden pada pilihan raya Oktober ini, pada masa ini berdepan perbicaraan rasuah ketika menjadi presiden Argentina selama dua penggal dari 2007-2015. – AFP, 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen