CHINA tidak mengendahkan permintaan peribadi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau untuk mengadakan dialog bagi mengakhiri pertelingkahan diplomatik antara dua negara itu, kata pejabat perdana menteri.
Trudeau memohon dialog itu diadakan pada Januari terhadap Perdana Menteri China Li Keqiang supaya beliau sendiri boleh berbincang untuk pembebasan segera dua warga Kanada yang ditahan sebulan lalu.
Ia juga bagi budi bicara mendapatkan pengampunan untuk seorang lagi warga Kanada yang akan dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah, kata jurucakap Chantal Gagnon dalam satu kenyataan.
“Rayuan pengampunan kami (dalam kes dadah) juga dibuat secara terus kepada pegawai rasmi China,” katanya.
Perkara itu didedahkan ketika semakin banyak desakan terhadap Trudeau untuk memberi lebih tekanan kepada China bagi membebaskan dua warga Kanada berkenaan, yang dikatakan ditahan sewenang-wenangnya.
Bekas diplomat Michael Kovrig dan ahli perniagaan Michael Spavor ditahan selepas penahanan eksekutif kanan Huawei Meng Wanzhou pada 1 Disember di Vancouver atas waran Amerika Syarikat (AS).
China berkata ia mengesyaki Kovrig, yang bekerja untuk badan pemikir International Crisis Group, mengintip dan mendakwa Spavor memberikannya bahan risikan.
Tetapi Trudeau dilaporkan berkata kedua-dua individu itu ditahan atas alasan politik. – AFP, 13 Jun, 2019.
Komen