SATU laporan polis akan dibuat ke atas Haziq Abdul Aziz pagi esok berhubung pengakuannya sebagai pelaku video aib, kata Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Hilman Idham.
Beliau berkata laporan tersebut akan dibuat di Ibu Pejabat Daerah IPD Putrajaya atas kapasitinya sebagai pembantu Azmin Ali.
Tambahnya, selepas laporan polis dibuat, laporan qazaf untuk membersihkan nama Azmin akan dilakukan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
“Setelah kita berbincang dengan peguam dan pimpinan kita putuskan untuk ambil tindakan undang- undang.
“Esok pada jam 10 pagi, saya akan buat laporan polis terhadap satu pelakuan jenayah seorang pengugut di IPD Putrajaya,” katanya selepas majlis solat hajat dan bacaan yasin di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam.
Video aib memaparkan dua lelaki di atas katil itu tersebar sejak Selasa, pagi tadi Haziq- setiausaha sulit kanan timbalan menteri dan ketua Pemuda PKR Santubong- membuat pengakuan bahawa beliau pelaku rakaman itu.
Beliau juga mendakwa salah seorang lagi pelaku adalah Azmin.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR sudah menafikan dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Dalam rakaman pengakuan di Facebook itu, Haziq turut menggesa Azmin disiasat.
Katanya, perbuatan itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di sebuah hotel pada Pilihan Raya Kecil Sandakan.
Hilman juga mengesahkan beliau berada bersama Azmin sepanjang menteri itu berada di Sandakan.
Katanya, beliau juga tidak berjumpa Haziq dalam mana- mana program atau bersama Azmin ketika menteri itu berada di sana.
“Sepanjang Azmin berada di Sandakan dalam tempoh PRK Sandakan, saya berada bersama beliau, saya ada ketika beliau tiba di lapangan terbang hingga balik ke lapangan terbang.
“Saya datang lebih awal dari beliau dan sebagai setiausaha politik, saya tinggalkan Sandakan selepas Azmin pulang. Saya tidak nampak Haziq ada di mana- mana atau bersama Azmin.
“Saya yakin tidak ada perlakuan jijik dilakukan,” katanya.
Hilman menambah yang skandal itu adalah satu komplot politik jahat yang ingin menjatuhkan Azmin.
Majlis solat hajat malam ini dihadiri kira- kira 150 orang pemimpin dan penyokong PKR. Azmin tidak hadir.
Hilman turut menyampaikan pesanan Azmin kepada penyokongnya supaya tidak patah semangat dan terus berkhidmat untuk rakyat walaupun fitnah sedang berlaku. – 12 Jun, 2019.
Komen