ANWAR Ibrahim, Mohamad Sabu dan Azmin Ali. Mereka adalah antara politikus yang bertahun-tahun lamanya menderita kerana kehidupan peribadi mereka diserang.
Tetapi, kini mereka semua berjaya menjawat kedudukan tinggi dan masih menang pilihan raya walaupun bertubi-tubi diserang dengan video dan gambar pelanduk dua serupa dalam situasi mengaibkan, semuanya dinafikan mereka.
Kejayaan mereka ini, kata penganalisis politik, menunjukkan majoriti pengundi Malaysia sudah cukup matang untuk melihat matlamat agung “pendedahan” itu- teknik keji untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu besar yang lebih penting, seperti kos sara hidup dan korupnya kerajaan.
Dan seperti mana kontroversi sebelum ini, pendedahan terbaru video seks yang didakwa melibatkan Azmin berkemungkinan besar tidak memberi kesan besar kepada perjalanan politik serta masa depan partinya, PKR dalam pentadbiran Pakatan Harapan.
Jangkaan ini juga disumbang oleh kemajuan teknologi dan zaman internet yang membolehkan pelbagai kaedah digunakan untuk mengeluarkan gambar dan video palsu, menyebabkan pengundi lebih curiga dengan apa yang dibentangkan kepada mereka.
Dr James Chin dari University of Tasmania berkata, salah seorang daripada politikus yang tersungkur kerana skandal seks adalah bekas presiden MCA yang juga bekas menteri kesihatan Dr Chua Soi Lek. Itu pun kerana, beliau sendiri mengakui pelaku dalam video tersebut adalah dirinya.
“Kita hidup dalam zaman media sosial. Video itu hanya akan berkesan jika ia benar. Kita dah banyak kali mengalaminya seperti pada 2011 (video didakwa Anwar dengan wanita asing) dan klip video melibatkan (pemimpin PAS) Mustafa Ali dan (presiden Amanah) Mohamad Sabu.
“Mereka semua terlepas kerana ia tidak boleh dibuktikan yang pelaku video tersebut adalah mereka,” kata Chin.

Tetapi, situasi ini tidak bermakna politikus terlibat boleh terlepas daripada kesan skandal mengaibkan, kata seorang lagi pakar sains politik, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
“Skandal tersebut boleh menjejaskan karier politik seseorang pemimpin khususnya pengundi Melayu jika mereka mempercayainya.
“Namun jika sebaliknya, maka kebangkitan penyokong dan rakyat akan berlaku seperti kes fitnah terhadap Anwar Ibrahim,” kata Awang Azman dari Akademi Pengajian Melayu UM itu.

Video dejavu
Skandal terbaru politikus yang hangat dibincangkan sekarang saling tak tumpah dengan dakwaan liwat melibatkan Anwar yang sekarang adalah ahli Parlimen Port Dickson satu ketika dahulu.
10 tahun lepas, seorang pembantu lelaki mendakwa mempunyai hubungan homoseksual dengan Anwar- skandal itu dikenali sebagai Liwat II.
Anwar menafikan semua tuduhan tersebut, tetapi masih didakwa dan dipenjarakan. Beliau menerima pengampunan diraja dan dibebaskan selepas PH berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya Mei tahun lepas.
Sebelum “mangsa” Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar, beliau berjumpa dengan sekutu rapat Najib Razak, bekas perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional yang merupakan musuh ketat politik Anwar.

Dalam tahun-tahun kes itu dalam proses rayuan, Saiful sesekali akan muncul dalam video termasuklah yang dirakamkan di Mekah, bersumpah yang beliau ada hubungan seks dengan Anwar.
Pada 2011 pula, sekumpulan ahli perniagaan mengedarkan video yang dakwa mereka lelaki iras Anwar dengan seorang wanita warga asing kepada media.
Untuk menyakinkan rakyat yang semakin jelik dengan teknik ini, kumpulan tersebut memakai jaket kalis peluru untuk perlindungan, bersumpah dengan Al-Quran di dalam masjid bagi menunjukkan video tersebut sahih dan tulen.

Kontroversi terbaru sekarang juga melibatkan seorang lelaki, mendakwa namanya sebagai Haziq Abdul Aziz, seorang setiausaha sulit kanan seorang timbalan menteri yang mengaku dirinya adalah pelaku video seks tersebut.
Dakwanya lagi, lelaki bersamanya dalam situasi dalam kelambu itu adalah Azmin.
Dua hari lepas apabila video itu mula tersebar- tetapi sebelum pengakuan Haziq- sekutu rapat Najib, Lokman Noor Adam membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Azmin kerana kesalahan korupsi.
Lelaki yang mendakwa namanya Haziq itu juga mahu Azmin disiasat kerana korupsi, tetapi mengabaikan fakta yang beliau sebenarnya membuat pengakuan terlibat dalam aktiviti jenayah.

Persamaan kejadian ini menyukarkan rakyat Malaysia untuk menerimanya sebagai fakta, kata Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre.
“Rakyat sudah muak dengan politik mual sebegini sejak kes liwat Anwar Ibrahim. Adapun kes Rahim Thamby Chik,” kata Azlan merujuk kepada dalang penyebaran video 2011.
Azlan melakukan kajian mengukur sentimen pengundi sejak pilihan raya umum 2008.
“Ukurannya kes-kes ini hanya terpalit pada reputasi diri dan bukan menunjukkan penolakan kepada parti secara total,” katanya lagi.
Walaupun perkara aib dilemparkan kepada politikus PH, pakatan itu berjaya meningkatkan sokongan mereka berbanding PRU12 pada 2008- ketika skandal itu tercetus- sehingga berjaya merampas Putrajaya pada PRU14 lalu.
“Rakyat lebih fokus kepada isu yang berputar sekitar perut dan poket mereka khususnya serta melibatkan reputasi kerajaan,” katanya lagi, menambah yang isu beri kesan kepada prestasi kerajaan juga sebenarnya lebih dianggap penting bagi pengundi.
“Rakyat semakin matang menilai sesuatu isu dan berita.” – 13 Jun, 2019.
Komen