Laluan keluar masuk kampung Orang Asli Bateq ditutup


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Pasukan Gerakan Am berkawal di laluan keluar masuk Kampung Kuala Koh, Gua Musang bagi membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2019.

PASUKAN Gerakan Am sudah menutup laluan keluar masuk menuju Kampung Kuala Koh, Gua Musang kerana pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk masuk ke dalam tapak perkuburan 12 ahli komuniti Orang Asli Bateq.

Sekatan itu dibina pada jam 7 pagi tadi hampir 8km dari perkampungan itu, membenarkan hanya pihak berkuasa masuk ke dalam kawasan itu.

Ia dibuat selepas wabak penyakit misteri membunuh 14 orang kaum tersebut. Pihak berkuasa sebelum ini berkata kematian itu disebabkan penyakit jangkitan pernafasan atau paru-paru.

Difahamkan yang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Perhilitan dan Taman Negara serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan akan masuk ke dalam perkampungan tersebut untuk siasatan.

Pihak berkuasa merancang mengesan jejak dalam hutan untuk mencari dan menanda tapak mayat dikebumikan untuk proses penggalian semula mayat untuk tujuan bedah siasat.

The Malaysian Insight melaporkan yang kemungkinan besar beberapa mayat tersebut sudah hilang, kerana menurut seorang Orang Asli Bateq, ia mungkin sudah dimakan haiwan liar.

Difahamkan yang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Perhilitan dan Taman Negara serta Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan akan masuk ke dalam perkampungan tersebut untuk siasatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2019.

Sejak kematian massa melanda komuniti itu, Orang Asli Bateq sudah berpindah dari perkampungan mereka dan kini tinggal dalam khemah sementara jauh dari lokasi asal.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan kuarantin dibuat ke atas perkampungan itu untuk menghalang kemungkinan wabak merebak.

Wartawan The Malaysian Insight yang cuba memasuki perkampungan tersebut juga dihalang pihak berkuasa.

Seorang pegawai yang enggan dinamakan berkata mereka masih belum mengkuarantin kawasan tersebut, tetapi hanya menyekat laluan keluar masuk. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen