Wartawan mati ditembak di Mexico


Bulan lepas, wartawan jenayah, Francisco Romero dibunuh di sebuah bandar peranginan di pantai Carribean selepas menerima ugutan. Semalam, seorang lagi wartawan ditembak lelaki bersenjata. – Gambar AFP, 12 Jun, 2019.

SEORANG wartawan mati dibunuh di tenggara Mexico semalam, lapor media tempatan.

Tabasco Today berkata Norma Sarabia merupakan wakil akhbar berkenaan selama 15 tahun dan baru-baru ini menyertai media tempatan lain.

Sarabia ditembak beberapa kali oleh dua lelaki yang sedang menunggang motosikal di luar rumahnya di Tabasco.

“Kami sangat sedih atas berita kematiannya dan bersimpati dengan keluarganya,” tulis ketua pengarang Tabasco Today, Hector Tapia di Twitter.

Sarabia adalah wartawan keenam dibunuh di Mexico tahun ini.

Sejak 2000, lebih 100 wartawan mati dibunuh dipercayai ada kaitan dengan keganasan pemerdagangan dadah dan rasuah politik. Kebanyakan pembunuh tidak dikenakan hukuman.

Reporters Without Borders (RSF) menamakan Mexico sebagai negara ketiga paling berbahaya di dunia, di belakang perang Afghanistan dan Syria.

Bulan lepas, wartawan jenayah, Francisco Romero dibunuh di sebuah bandar peranginan di pantai Carribean selepas menerima ugutan.

Romero yang mendaftar dengan program perlindungan kerajaan Mexico bagi wartawan dan aktivis hak asasi manusia, ditemui mati berlumuran darah di kampung halamannya, Playa del Carmen. – AFP, 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen